KUALA LUMPUR, 26 Nov (Bernama) -- Sebanyak 24 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah diambil tindakan buang kerja atas kesalahan rasuah dari Januari 2023 hingga Oktober tahun ini, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah.
Beliau berkata tindakan itu melibatkan lapan anggota pada 2023, empat (2024) dan 12 (2025), selaras komitmen kerajaan terhadap dasar sifar rasuah.
“Bagi 2025, sebanyak 41 pegawai polis menerima sijil pengiktirafan tolak rasuah sempena Hari Integriti PDRM Tahun 2025 yang telah diadakan pada 12 Nov 2025.
“Maknanya dalam persepsi rakyat yang menyebut bahawa amalan rasuah pada anggota PDRM, sebenarnya ramai dalam kalangan anggota PDRM yang mempunyai tahap integriti yang baik, berdisiplin dan memang layak diberi pengiktirafan,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2026 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Dewan Rakyat hari ini.
Shamsul Anuar berkata bagi menangani risiko rasuah dalam kalangan warga PDRM, kerajaan membangunkan sistem pencegahan rasuah PDRM bagi mengesan, mencegah dan memantau risiko rasuah di semua jabatan dan peringkat.
“Sebanyak 43 risiko rasuah dikenal pasti melalui CRM (Pengurusan Risiko Rasuah) dan CRA (Penilaian Risiko Rasuah), 170 kawalan tambahan yang dikenal pasti akan menjadi pelan tindakan di bawah sistem pencegahan rasuah PDRM,” katanya.
Beliau ketika mengulas mengenai Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) berkata agensi itu kini mengendalikan 22 pintu masuk negara dengan 6,218 perjawatan yang dipindahkan daripada enam agensi bagi menyatukan fungsi operasi sempadan di bawah satu pentadbiran.
Enam agensi berkenaan ialah Jabatan Imigresen (4,414 perjawatan), Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (113), Jabatan Pengangkutan Jalan (78), Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) (19), Kementerian Kesihatan (424) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (1,053).
Selain itu, mengulas kebenaran membawa senjata api dalam penugasan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Shamsul Anuar berkata tiada keperluan meminda Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 dan Akta Senjata 1960, justeru anggota RELA tidak dibenarkan menggunakan senjata api bagi sebarang tujuan termasuk membasmi musuh tanaman.
Beliau bagaimanapun berkata sebarang keperluan penugasan RELA untuk membantu operasi itu perlu melalui permohonan kepada Perhilitan dan PDRM serta tertakluk kepada peruntukan dua akta berkenaan.
Dewan Rakyat kemudian meluluskan anggaran perbelanjaan mengurus dan pembangunan berjumlah RM21,182,930,100 bagi kementerian itu dalam Belanjawan 2026, dengan majoriti suara bersetuju selepas dibahas 24 Ahli Parlimen.
-- BERNAMA
