KUALA LUMPUR, 27 Nov (Bernama) -- Tenaga Nasional Berhad (TNB) bersama Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) terus memperkukuh kerjasama strategik melalui satu daripada inisiatif pelaksanaan Program Pembangunan Vendor Bumiputera 3.0 (PV 3.0) TNB, sebagai menyokong agenda kerajaan dalam memperkasa ekonomi bumiputera serta selari dengan dasar peralihan tenaga negara.
TERAJU dalam kenyataan memaklumkan inisiatif itu tidak hanya menyediakan peluang perolehan, malah bertindak sebagai pemangkin transformasi vendor bumiputera agar dapat menembusi rantaian bekalan industri tenaga dan teknologi hijau serta bersaing di peringkat global.
“PV 3.0 bukan sahaja membuka peluang perniagaan baharu, malah memberi laluan strategik kepada vendor bumiputera untuk berkembang dan bersaing dalam industri tenaga dan teknologi hijau. Kejayaan vendor adalah kejayaan TNB dan kejayaan negara,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu memaklumkan lebih 3,600 vendor bumiputera aktif berada dalam ekosistem perolehan TNB.
Di bawah pelaksanaan PV 3.0, TNB menyasarkan 55 peratus perbelanjaan perolehannya disalurkan kepada vendor bumiputera menjelang 2030, berbanding 47.8 peratus pada tahun kewangan 2024.
Menjelang 2030 juga, TNB turut menyasarkan pelantikan lebih 1,700 vendor bumiputera di bawah PV 3.0, sebagai langkah memperkukuh ekosistem penyertaan vendor tempatan.
PV 3.0 yang dilancarkan pada 2024 adalah kesinambungan daripada usaha TNB sejak 1994, namun ditambah baik dengan penekanan terhadap tiga teras utama iaitu peluang pasaran perniagaan, akses kepada pembiayaan kewangan serta pembangunan kompetensi vendor.
Antara inisiatif di bawah teras pertama, iaitu peluang pasaran perniagaan, TNB telah memperkenalkan Bumiputera Consultant Global Framework Agreement (BCGFA) bagi meningkatkan penyertaan juruperunding bumiputera dalam projek peralihan tenaga dan konsultansi.
Kerangka itu memberi akses lebih luas kepada juruperunding bumiputera untuk terlibat dalam projek berskala besar dan berdaya saing di peringkat domestik dan global.
Bagi teras kedua, akses kepada pembiayaan kewangan, TNB telah menandatangani Letter of Collaboration (LOC) dengan TERAJU bagi menyediakan skim pembiayaan khas untuk vendor bumiputera, yang membantu mereka memperkukuh aliran tunai dan daya saing dalam pelaksanaan projek, terutama untuk projek peralihan tenaga dan digitalisasi.
Sementara itu, di bawah teras ketiga, iaitu pembangunan kompetensi vendor, TNB telah menaja vendor-vendor yang berkelayakan untuk mendapatkan kompetensi teknikal melalui pusat latihan TNB dan program TVET, dengan tujuan melahirkan tenaga mahir bumiputera yang mampu menembusi pasaran tenaga global.
Kolaborasi TNB dan TERAJU juga menyokong Dasar Pemerkasaan Bumiputera (TPB2030) dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), selaras dengan hasrat negara memperkasa ekonomi hijau, digitalisasi dan kebolehsaingan global.
Antara bidang utama yang dibuka melalui PV 3.0 termasuk projek berkaitan Solar Terapung Hibrid Hidro (HHFS), Taman Solar Berpusat (CSP), Ladang Solar, Pengecas EV dan Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS) yang kini menjadi teras dalam pelan peralihan tenaga negara.
Usaha memperkasa ekonomi vendor bumiputera itu menumpukan kepada pengukuhan keupayaan ekonomi melalui peluasan peluang yang saksama, pengurangan kebergantungan serta masa depan yang lebih inklusif dan mampan demi meningkatkan daya saing negara.
-- BERNAMA
