AM

APMM RANCANG BANGUNKAN FASILITI LATIHAN STAR TEAM DI KEMAMAN

27/11/2025 04:11 PM

KUANTAN, 27 Nov (Bernama) -- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) merancang membangunkan fasiliti latihan Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat (STAR Team) di Kompleks Zon Maritim Kemaman, Terengganu. 

Ketua Pengarah APMM Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata setakat ini pembangunan fasiliti berkenaan masih di peringkat awal kajian yang melibatkan penilaian kesesuaian tanah, lokasi serta struktur pembinaan.

“Ia juga melibatkan pembangunan-pembangunan peralatan sokongan STAR Team, antaranya perolehan helikopter yang juga satu keperluan untuk operasi STAR Team dan juga pembangunan dalam konteks khusus kepakaran,” katanya pada sidang media selepas Majlis Tamat Latihan Kursus Asas Komando STAR Team Siri 1/2025 di Akademi Maritim Sultan Ahmad Shah di sini hari ini. 

Pada majlis itu, sebanyak 12 anggota dan seorang pegawai berjaya menamatkan latihan intensif selama hampir empat bulan yang dilaksanakan buat julung-julung kalinya secara kendalian penuh oleh agensi itu.

Beliau berkata pembangunan pengkalan itu dijangka mengambil masa antara tiga hingga empat tahun dan AMSAS akan dijadikan fasiliti sementara sehingga fasiliti berkenaan siap sepenuhnya. 

Dalam perkembangan lain, Mohd Rosli berkata operasi APMM tetap diteruskan tanpa pengurangan aset walaupun negara kini berada dalam musim Monsun Timur Laut (MTL) dengan fokus utama kepada operasi mencari dan menyelamat.

“Isu pencerobohan dan pendatang asing kita akan sentiasa tangani dari semasa ke semasa dan aset kita sentiasa berada di tengah laut. Operasi ini akan melibatkan seluruh kawasan pantai timur Semenanjung serta Sabah dan Sarawak yang terlibat dengan MTL,” katanya. 

Beliau berkata semua nelayan dinasihatkan agar sentiasa mendapatkan maklumat cuaca terkini, memakai jaket keselamatan dan membawa pengesan lokasi individu (PLB) bagi memudahkan pengesanan sekiranya berlaku kecemasan di laut.

-- BERNAMA 

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan