AM

IMIGRESEN TAWAR GANTI PASPORT ROSAK, HILANG AKIBAT BANJIR SECARA PERCUMA

27/11/2025 05:37 PM

PUTRAJAYA, 27 Nov (Bernama) -- Jabatan Imigresen (JIM) menawarkan penggantian Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA) secara percuma kepada mangsa banjir yang kehilangan atau mengalami kerosakan dokumen akibat bencana itu.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Zakaria Shaaban dalam kenyataan hari ini berkata inisiatif berkenaan bertujuan memudahkan urusan mangsa yang terjejas serta memastikan keperluan perjalanan dan urusan rasmi dapat diteruskan tanpa sebarang halangan.

"Mangsa yang pasportnya hilang atau rosak akibat bencana banjir boleh mengemukakan permohonan penggantian pasport tanpa sebarang bayaran di mana-mana Pejabat JIM yang berdekatan.

"Diharapkan inisiatif ini dapat meringankan beban yang ditanggung mangsa banjir dan membantu mereka kembali mengurus kehidupan harian dengan lebih mudah dan teratur," katanya.

Beliau berkata bagi tujuan penggantian pasport, individu terjejas perlu memastikan pasport milikannya masih sah dan tidak kurang dari enam bulan.

Selain itu, individu terlibat perlu membawa kad pengenalan, pasport asal (sekiranya masih ada), menyerahkan salinan laporan polis (bagi kehilangan PMA) dan menyerahkan laporan pengesahan bencana banjir daripada Jabatan Bomba atau Pihak Berkuasa Tempatan.

Untuk sebarang pertanyaan lanjut, pemohon boleh hadir ke Pejabat Imigresen berhampiran bagi mendapatkan maklumat dan bantuan selanjutnya. 

Zakaria berkata pihaknya kekal komited memberikan perkhidmatan terbaik serta memastikan kebajikan rakyat sebagai keutamaan. 

-- BERNAMA

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan