AM

PSRA 2025: SELANGOR CATAT 95.4 PERATUS LULUS

27/11/2025 05:46 PM

SHAH ALAM, 27 Nov (Bernama) -- Keputusan Penilaian Sekolah Rendah Agama (PSRA) 2025 bagi Selangor mencatatkan peratusan kelulusan 95.4 peratus, meningkat enam peratus berbanding 89.4 peratus pada tahun lepas.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata pencapaian Gred Purata Negeri (GPN) PSRA 2025 ialah 2.21 berbanding 2.53 tahun lepas, dengan semakin kecil angka bermaksud semakin cemerlang keputusan diperoleh.

“Saya yakin kejayaan ini hasil ikhtiar dan gerak kerja semua pihak termasuk pendidik, murid dan ibu bapa serta mereka yang tidak jemu menyokong,” katanya pada Majlis Pengumuman Keputusan Penuh Peperiksaan PSRA 2025 di sini hari ini.

Mohd Shahzihan berkata sebanyak 46,363 calon mendaftar bagi PSRA tahun ini dengan 46,044 calon iaitu 99.3 peratus hadir menduduki peperiksaan. 

Sebanyak 11,155 calon atau 24.1 peratus mendapat pangkat Mumtaz (cemerlang), 19,305 calon (Jayyid Jiddan - sangat baik), 9,234 calon (Jayyid - baik), 4,516 calon (Maqbul - lulus) manakala1,834 calon (Musaadah - perlu bimbingan).

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan