EKONOMI

KUMPULAN EPIC RAIH PENGIKTIRAFAN HRD DAN IMPEC 2025

27/11/2025 06:57 PM

KUALA LUMPUR, 27 Nov (Bernama) -- Eastern Pacific Industrial Corporation Bhd (EPIC Bhd) meraikan satu lagi pencapaian yang luar biasa malam tadi selepas meraih tiga kemenangan di Majlis Makan Malam Gala Anugerah HRD 2025 sebagai pengiktirafan terhadap inisiatif pembangunan modal manusia yang progresif.

Ini susulan kemenangannya merangkul Anugerah Platinum di Persidangan Kecemerlangan Projek Malaysia Antarabangsa (IMPEC) 2025.

Syarikat itu melalui satu kenyataan hari ini berkata EPIC mencipta sejarah sebagai syarikat pertama dari Pantai Timur untuk menerima Anugerah Menteri Sumber Manusia, pengiktirafan tertinggi dalam kategori majikan pertengahan.

"Anugerah ini menjadi cerminan transformasi serta tumpuan strategik syarikat dalam membangunkan tenaga kerja berdaya tahan, berkebolehan dan mampu memenuhi keperluan masa hadapan.

Selain anugerah utama yang diterima EPIC, anak syarikatnya, Sukma Samudra Sdn Bhd (“SSSB”), meraih Perak bagi “HRD Corp Award” untuk kategori “East Coast Region SME”.

EPIC Bhd berkata pengiktirafan ini menyoroti dedikasi SSSB kepada pembangunan tenaga kerja berstruktur dan pembinaan keupayaan pekerja.

Melalui program latihan yang disasarkan dan inisiatif pembangunan kemahiran, syarikat telah mengukuhkan tenaga kerja, memastikan pekerja dilengkapi bagi memenuhi tuntutan operasi selain menyumbang kepada pertumbuhan yang berterusan kumpulan. 

Syarikat itu menyatakan bahawa pengiktirafan yang diterima di Anugerah HRD 2025 adalah berlandaskan kejayaan berterusan EPIC Bhd di platform negara.

Baru-baru ini, subsidiari kumpulan, EPIC OG Sdn Bhd telah memperoleh Anugerah Platinum di bawah kategori pembangunan bakat dan pembinaan keupayaan pada acara IMPEC 2025, yang dianjurkan oleh Petroliam Nasional Bhd (Petronas)," katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EPIC Bhd, Muhtar Suhaili ketika mengulas mengenai pencapaian itu berkata modal insan adalah penting kepada pertumbuhan strategik EPIC Bhd.

Pengiktirafan ini mencerminkan pelaburan berterusan syarikat dalam individu, melengkapkan mereka dengan kemahiran dan pendedahan yang diperlukan untuk berkembang maju dalam landskap industri yang pesat berubah.

"Kami tetap komited untuk membina kecekapan yang kuat termasuk membentuk budaya berprestasi tinggi yang menyokong aspirasi tenaga jangka panjang Malaysia," katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan