KUALA LUMPUR, 26 Nov (Bernama) -- Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Kuala Lumpur dan Selangor (KLSICCI) menunjukkan komitmen tinggi dalam memacu transformasi keusahawanan India tempatan menerusi pemerkasaan digital.
Menteri Digital Gobind Singh Deo berkata pertubuhan yang diasaskan pada 1928 dengan lebih 1,000 ahli langsung dan 30,000 ahli tidak langsung itu menjadi tonggak penting dalam memperkasa perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
“KLSICCI telah menetapkan visi bagi 2026 untuk memulakan perjalanan transformasi ke arah memperkasa, memudahkan, meningkatkan, memodenkan, mendigitalkan dan meningkatkan kemahiran usahawan India.
“Ini pastinya akan membantu mewujudkan komuniti perniagaan yang bertenaga dan dinamik dan kami gembira kerana KLSICCI bersedia membantu usahawan India kami berkembang dalam era kecerdasan buatan (AI) ini,” katanya dalam ucapan pada Majlis Rumah Terbuka Deepavali KLSICCI 2025 di sini malam ini.
Teks ucapan Gobind dibacakan Setiausaha Politik beliau Michelle Ng Mei Sze yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Subang Jaya.
Gobind berkata kerajaan komited memastikan semua perniagaan dapat berkembang dalam ekonomi digital melalui inisiatif seperti Geran Pengambilan Digital, National Artificial Intelligence Centre of Excellence dan program AI Untuk Rakyat, selain sasaran membangunkan 900 syarikat pemula AI dan 30,000 bakat AI menjelang 2026.
Beliau berkata kerjasama kerajaan dengan dewan perniagaan seperti KLSICCI membolehkan akses digital diperluas melalui latihan digital, platform e-dagang, kesedaran keselamatan siber serta penyelesaian berasaskan kecerdasan buatan (AI).
-- BERNAMA
