AM

PENDIGITALAN SPPIM KURANGKAN MASA MENUNGGU KAUNTER URUSAN NIKAH KEPADA SEJAM - JHEAINS

28/11/2025 02:28 PM

Oleh Siti Fauziah Hasan

SEREMBAN, 28 Nov (Bernama) -- Jika dahulu, pasangan yang ingin bernikah terpaksa beratur panjang dan melakukan beberapa kunjungan ke pejabat agama, suasana itu kini berubah apabila Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) melaksanakan sistem digital, sekali gus menoktahkan kesesakan yang sekian lama membebankan pelanggan, terutama di daerah ini.

Pengarah JHEAINS Mohd Asri Abdullah berkata menerusi Sistem Pengurusan Perkahwinan Islam Malaysia (SPPIM 2.0) yang dibangunkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) berdasarkan modul JHEAINS, semua urusan berkaitan boleh disiapkan secara dalam talian tanpa perlu hadir ke kaunter.

Beliau berkata langkah itu bukan sahaja melonjakkan produktiviti perkhidmatan, tetapi juga menjadi antara contoh reformasi kerenah birokrasi yang paling memberikan kesan segera kepada masyarakat.

“Kaedah digunakan sebelum ini kebanyakannya secara manual dan perlu hadir ke kaunter, menerusi SPPIM, pemohon mengisi permohonan, menghantar dokumen sokongan dan membuat bayaran, pejabat kemudian akan membuat semakan serta meluluskan permohonan terus melalui sistem.

“Pemohon perlu hadir ke pejabat setelah memperoleh kelulusan untuk kutipan dokumen berkaitan nikah, cerai dan rujuk berdasarkan masa yang ditetapkan. Menerusi inisiatif ini, masa menunggu di kaunter berkurangan daripada dua jam kepada satu jam,” katanya kepada Bernama.

Menerusi sistem itu juga, beliau berkata rekod kehadiran menjadi lebih sistematik dan data masa sebenar kehadiran, capaian staf dan statistik harian telah tersedia selain menjimatkan kos operasi serta penurunan aduan berkaitan kesesakan, kelewatan atau kekurangan petugas.

“Untuk jangka panjang, berlaku transformasi digital dalam pengurusan hal ehwal Islam dengan membuktikan pelaksanaan Smart Religious Office dan meningkatkan kepercayaan masyarakat terhadap institusi agama. Apabila senang berurusan dan mesra rakyat, keyakinan masyarakat bertambah,” katanya.

Mohd Asri berkata untuk mengurangkan kehadiran fizikal dan masa menunggu bagi urusan pernikahan, JHEAINS memperkemas proses penjadualan nikah melalui sistem itu termasuk semakan dokumen sepenuhnya secara dalam talian, tempahan slot nikah berasaskan kapasiti sebenar serta penggunaan notifikasi automatik untuk memaklumkan status permohonan kepada pasangan.

Menurutnya, wali dan pasangan boleh memberikan persetujuan secara digital tanpa perlu hadir ke pejabat, manakala bagi kes-kes khas, sesi temu bual dilaksanakan melalui panggilan video.

“Isu kesesakan menjadi keutamaan JHEAINS kerana pelanggan yang hadir berurusan sering menghadapi masalah masa menunggu lama disebabkan kesesakan dan secara tidak langsung, meningkatkan kos selain memberikan pengalaman tidak baik,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata berdasarkan rekod dari Januari hingga Oktober tahun ini, sebanyak 9,480 permohonan kebenaran berkahwin dibuat melalui SPPIM di pejabat pendaftar di seluruh negeri dan daripada jumlah itu, 3,830 permohonan dilakukan di Pejabat Pendaftar JHEAINS Seremban.

“Secara umumnya, rata-rata pasangan yang berurusan berpuas hati dan berpendapat kaedah baharu ini sangat memudahkan dan menjimatkan masa kerana daripada proses permohonan sehingga pembayaran dan temu janji pengambilan dokumen boleh dilakukan secara dalam talian sahaja,” katanya.

Sementara itu, Mohd Asri berkata inisiatif berkenaan dapat memperkukuh prinsip tadbir urus yang baik dan Reformasi Birokrasi Negeri Sembilan dengan pelanggan tidak perlu hadir ke kaunter untuk mendapatkan maklumat, tetapi cukup sekadar berurusan secara maya.

“Secara tidak langsung langkah ini berupaya meningkatkan tahap responsif JHEAINS terhadap pertanyaan masyarakat kerana boleh diakses dalam tempoh 24 jam,” katanya sambil menambah orang awam boleh mendapatkan maklumat melalui www.islamnegeri9.gov.my, jheains.ns.gov.my atau www.sppim.gov.my.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan