AM

18 PENGAMAL MEDIA TERIMA SUMBANGAN TABUNG KASIH@HAWANA

28/11/2025 03:34 PM

PUTRAJAYA, 28 Nov (Bernama) -- Sebanyak 18 pengamal media Tamil yang terkesan akibat masalah kesihatan, kesulitan ekonomi dan penstrukturan semula industri menerima sumbangan berjumlah RM54,000 melalui inisiatif Tabung Kasih@HAWANA, hari ini.

Sumbangan itu disampaikan Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching dalam satu majlis di Kementerian Komunikasi yang turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Abdul Halim Hamzah, Timbalan Ketua Setiausaha (Infrastruktur Telekomunikasi) Kementerian Komunikasi Mano Verabathran, Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin dan Pemangku Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Mohd Shukri Ishak.

Bercakap kepada pemberita selepas majlis berkenaan, Teo berkata Tabung Kasih@HAWANA yang ditubuhkan sejak 2023 menunjukkan peningkatan ketara dalam jumlah penerima setiap tahun, daripada 28 penerima kepada 229 penerima pada 2024 dan disasarkan 300 penerima tahun ini.

“Setakat ini bagi 2025, ia telah mencecah 323 penerima dan memang telah mencecah KPI (petunjuk prestasi utama) kita. Secara keseluruhan, untuk tiga tahun ini kita ada 580 penerima dengan sumbangan keseluruhan mencecah RM1.7 juta.

“Hasrat utama tabung bukan sahaja untuk membantu wartawan aktif, tetapi juga wartawan veteran serta mana-mana pengamal media sedang berdepan kesulitan hidup,” katanya.

Beliau berkata mana-mana individu yang memerlukan bantuan boleh menghubungi urus setia Bernama yang menjalankan proses saringan bagi menentukan kelayakan permohonan sebelum bantuan diberikan.

Pada masa sama, Teo turut menyatakan harapan Tabung Kasih@HAWANA akan diteruskan pada 2026 bagi membantu lebih ramai pengamal media yang mengalami kesulitan. 

Seorang penerima yang juga bekas ketua pengarang sebuah akhbar Tamil Tempatan K Devandran, 58, ketika ditemui merakamkan penghargaan kepada pihak kementerian dan Sekretariat HAWANA atas sumbangan itu.

“Ini situasi agak sukar bagi kami akibat penstrukturan semula industri tetapi bantuan diterima sedikit sebanyak akan membantu kami yang terkesan,” katanya.

Inisiatif Tabung Kasih@HAWANAmenjadi simbol keprihatinan Kerajaan MADANI dalam menyemarakkan nilai ihsan, empati dan penghargaan terhadap pengamal media di negara ini.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan