TUARAN, 28 Nov (Bernama) -- Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bersedia menghadapi sebarang kemungkinan bencana seperti banjir dan tanah runtuh susulan keadaan cuaca tidak menentu di Sabah ketika ini bagi memastikan kelancaran proses pengundian pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17 esok.
Pengerusi SPR Datuk Seri Ramlan Harun berkata pihaknya telah menyediakan prosedur operasi standard dan akan bertindak berdasarkan situasi semasa dan maklumat yang diterima daripada Jawatankuasa Bencana Daerah dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan berkaitan.
Beliau berkata keadaan cuaca tidak menentu ketika ini juga dijangka memberi kesan terhadap peratusan keluar mengundi terutama di kawasan berisiko hujan lebat atau banjir kerana kesukaran penduduk untuk menunaikan tanggungjawab mereka.
"Berdasarkan peraturan yang ada, tiada tambahan masa diberikan namun dalam keadaan yang terlalu serius, SPR boleh mengambil tindakan untuk menunda atau menangguhkan pilihan raya berdasarkan kepada keadaan dan laporan daripada pihak Jawatankuasa Bencana Daerah.
"SPR sentiasa peka dengan keadaan cuaca yang agak tidak menentu ini... semalam, kita juga telah berbincang dengan Jabatan Meteorologi Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara bagi membuat persiapan ke arah kemungkinan berlaku sebarang bencana semasa pilihan raya ini," katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Terdahulu, Ramlan meninjau proses persiapan menjelang hari mengundi PRN Sabah ke-17 di Dewan Seri Sulaman di sini.
Beliau berkata SPR akan menggerakkan aset dan bekerjasama dengan agensi keselamatan bagi memastikan proses PRN Sabah berjalan lancar meskipun di kawasan yang berdepan situasi bencana seperti banjir atau tanah runtuh.
"SPR akan cuba menggerakkan aset sedia ada melalui agensi-agensi keselamatan bagi membantu memudahkan perjalanan pengundi... contohnya di kawasan yang terputus hubungan, jawatankuasa bencana daerah akan menggerakkan aset mereka seperti menyediakan bot dan perahu," katanya.
Ramlan turut memaklumkan bahawa SPR akan menggunakan perkhidmatan helikopter untuk membawa dokumen pilihan raya ke 85 pusat mengundi di kawasan pulau manakala lokasi lain akan dihubungkan menggunakan kenderaan pacuan empat roda dan bot.
Beliau berkata proses mengundi akan berlangsung dari 7.30 pagi hingga 5 petang namun beberapa kawasan termasuk pulau akan menutup pusat mengundi lebih awal iaitu sekitar 11.30 pagi hingga 12 tengah hari.
"Kita memang mengharapkan seramai mungkin boleh keluar mengundi... jika berdasarkan kepada undi awal, peratusan keluar mengundi lebih daripada 92 peratus tetapi dengan cuaca begini, kita harapkan lebih daripada 60 peratus akan keluar mengundi," katanya.
Ramlan berkata keputusan awal pengundian dijangka dapat diumumkan sekitar 10 malam, namun beliau mengakui SPR sukar untuk menjangkakan tempoh tepat berikutan keadaan cuaca semasa, tetapi akan berusaha memastikan ia dapat dibuat sekitar 12 tengah malam, esok.
Beliau berharap supaya lebih 1.7 juta pengundi berdaftar di Sabah dapat melaksanakan tanggungjawab memilih wakil rakyat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing.
"Apa yang paling penting dalam keadaan begini, semua mengambil langkah sebaiknya bagi memastikan dapat menggunakan peluang ini, saluran demokrasi ini bagi memilih wakil rakyat yang seterusnya akan membentuk kerajaan di Sabah," katanya.
PRN kali ini menyaksikan sebanyak 596 calon disahkan bertanding di 73 kerusi DUN.
Untuk berita terkini PRN Sabah ke-17, sila layari https://prn.bernama.com/sabah/index.php
-- BERNAMA
