AM

BANJIR: TERENGGANU CATAT LEBIH 5,000 MANGSA DI 77 PPS

28/11/2025 02:40 PM

KUALA LUMPUR, 28 Nov (Bernama) -- Terengganu terus mencatatkan jumlah mangsa banjir tertinggi apabila seramai 5,009 orang daripada 1,488 keluarga ditempatkan di 77 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat tengah hari ini.

Jumlah mangsa banjir di Pahang dan Selangor juga meningkat manakala Perak, Kelantan, Kedah dan Perlis mencatatkan penurunan.

Negeri Sembilan dan Melaka turut dilanda banjir.

Di TERENGGANU, semua lapan daerah di negeri itu kini terjejas bencana yang melanda sejak 22 Nov lepas dan menyebabkan 15 jalan ditutup.

Menurut laman sesawang Jabatan Kerja Raya (JKR), tujuh jalan di tiga daerah ditutup kepada semua jenis kenderaan bermula semalam dan pagi tadi manakala lapan laluan di empat daerah ditutup kepada kenderaan ringan.

Berdasarkan laman sesawang InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pula, Kuala Nerus menjadi daerah terbaharu dilanda banjir dengan 25 mangsa daripada lapan keluarga berpindah ke dua PPS.

Bagaimanapun, Kemaman mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 1,720 orang daripada 442 keluarga di 21 PPS diikuti Marang 1,316 orang (373 keluarga) di 10 PPS dan Setiu 1,113 orang (395 keluarga) di 21 PPS.

Daerah Dungun menyaksikan 371 mangsa daripada 86 keluarga ditempatkan di sembilan PPS diikuti Kuala Terengganu (322 orang daripada 135 keluarga) di empat PPS, Besut 71 orang (29 keluarga) di enam PPS dan Hulu Terengganu 71 orang (20 keluarga) di empat PPS.

Berdasarkan laporan publicinfobanjir.water.gov.my, paras air di lima stesen iaitu Sungai Dungun di Kuala Jengai, Dungun; Sungai Tebak di Jambatan Tebak, Kemaman; Sungai Tumpat di Kampung Baru, Kemasik, Kemaman; Sungai Chalok di  Jambatan Chalok, Setiu dan Sungai Setiu di Kampung Bukit, Setiu telah melepasi tahap bahaya.

Di SELANGOR, jumlah mangsa meningkat kepada 2,904 orang daripada 770 keluarga berbanding 2,718 orang pagi tadi, dengan Sepang dan Kuala Langat menjadi daerah terbaharu terjejas manakala 20 PPS dibuka di Klang, Kuala Selangor, Sabak Bernam, Sepang dan Kuala Langat.

Sementara itu, JKR Daerah Sepang  melalui hantaran di Facebook memaklumkan bahawa Jalan Sepang-Jenderam (Simpang Jijan) ditutup kepada kenderaan ringan selepas dinaiki air berikutan hujan berterusan sejak semalam.

Menurut JKR, laluan di persimpangan lampu isyarat Kiwa mula dinaiki air akibat limpahan sungai, dengan paras air dilaporkan meningkat dari semasa ke semasa dan susulan itu, pengguna jalan raya dinasihatkan mengelak laluan berkenaan serta memilih jalan alternatif.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata lapan anggota digerakkan ke Kampung Salak Tengah untuk mengeluarkan sembilan mangsa yang terperangkap selepas rumah mereka dinaiki air.

“Setakat 11 pagi ini, komander operasi melaporkan semua mangsa telah berjaya dikeluarkan dan dibawa ke lokasi selamat... mangsa terdiri daripada empat lelaki dan tiga wanita masing-masing seorang kanak-kanak dan seorang bayi,” katanya.

Di PAHANG, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 952 orang daripada 301 keluarga berbanding 486 orang daripada 160 keluarga pagi tadi.

Menurut Infobencana JKM, di Kuantan seramai 381 orang daripada 119 keluarga ditempatkan di tujuh PPS manakala 209 orang (64 keluarga) ditempatkan di enam PPS di Maran, 241 orang (80 keluarga) di sembilan PPS di Raub dan 121 orang (38 keluarga) di enam PPS di Lipis.

Di PERLIS, jumlah mangsa banjir terus mencatat penurunan kepada 7,526 orang berbanding 7,609 pada sebelah pagi.

Menurut Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri Perlis, kesemua mangsa masih berada di 24 PPS melibatkan kawasan Padang Besar, Arau dan Kangar.

Di PERAK, jumlah mangsa banjir menurun sedikit kepada 5,844 orang daripada 1,766 keluarga berbanding 5,861 orang daripada 1,776 keluarga di 45 PPS pagi tadi.

JPBN Perak memaklumkan daerah Manjung kekal merekodkan jumlah mangsa tertinggi dengan 2,270 orang daripada 687 keluarga di 18 PPS.

Di Hilir Perak, jumlah mangsa meningkat kepada 1,635 orang (502 keluarga) di 10 PPS manakala Perak Tengah mencatat 1,429 mangsa (410 keluarga) dan daerah Bagan Datuk pula merekodkan 369 mangsa diikuti Larut, Matang dan Selama yang mencatatkan 117 mangsa dan 24 orang masih berada di dua PPS di daerah Muallim.

Di MELAKA, sebuah PPS dibuka di Sekolah Kebangsaan Masjid Tanah bagi menempatkan 20 mangsa daripada empat keluarga yang terjejas banjir di daerah Alor Gajah di sini.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dalam kenyataan memaklumkan bahawa PPS itu dibuka pada 8 pagi selepas beberapa kawasan dinaiki banjir susulan hujan dalam tempoh yang lama.

Menurut kenyataan itu, antara kawasan terjejas banjir ialah Pekan Masjid Tanah, Ramuan China Besar, Kampung Paya Lebat, Kampung Ayer Molek, Taman Seri Batu 2, Bukit Balai dan Kampung Gadek.

Di NEGERI SEMBILAN, tiga PPS dibuka susulan banjir di Seremban dan Port Dickson.

Menurut InfoBencana JKM, sebanyak 117 mangsa membabitkan 30 keluarga telah dipindahkan ke PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Jimah Lama di Lukut dan Balai Raya Permatang Pasir di Linggi di Port Dickson dan SK Jijan di Labu, Seremban.

Seramai 100 mangsa daripada 23 keluarga berada di PPS SK Jimah Lama manakala 13 lagi daripada enam keluarga berada di Balai Raya Permatang Pasir (Linggi) diikuti empat orang daripada dua keluarga ditempatkan SK Jijan. 

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan