AM

LEBIH 2,000 ANGGOTA APM SIAP SIAGA HADAPI RIBUT TROPIKA SENYAR

28/11/2025 04:34 PM

KUALA LUMPUR, 28 Nov (Bernama) -- Lebih 2,000 anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) kini dalam keadaan bersiap siaga bagi menghadapi kesan Ribut Tropika Senyar yang melanda sejak semalam.

APM dalam kenyataan memaklumkan pihaknya telah mengaktifkan Pusat Kawalan Operasi Negeri (PKON) di 14 buah negeri dan 198 Pusat Kawalan Operasi Unit (PKOU) bagi menyelaras segala operasi pemantauan, kesiapsiagaan dan respons kecemasan sepanjang tempoh amaran di samping membuka Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) di semua negeri dan daerah.

“Lebih 2,000 anggota berkenaan ditugaskan untuk membuat rondaan di kawasan berisiko tinggi. Pasukan itu dilengkapi peralatan penyelamatan air, bot, ambulans, dron pemantauan serta komunikasi kecemasan,” menurut kenyataan itu.

Selain itu, APM turut menempatkan pelbagai aset termasuk bot penyelamat, trak angkut, kenderaan pacuan empat roda, generator serta pam air mudah alih di lokasi strategik bagi memastikan operasi bantuan tidak terganggu.

APM memaklumkan sebanyak 30,300 pek makanan sedia dimakan, 88,701 unit khemah mudah alih bencana serta 31,480 kit makanan disediakan bagi memastikan kebajikan petugas dan mangsa.

Kenyataan itu memaklumkan, APM turut bekerjasama dengan semua agensi pengurusan bencana bagi memastikan koordinasi menyeluruh meliputi pemindahan, penyelamatan dan pengoperasian pusat pemindahan sementara (PPS).

“APM turut menasihatkan orang ramai untuk sentiasa mengikuti perkembangan amaran cuaca rasmi, berpindah apabila diarahkan, mengelakkan kawasan berisiko banjir, menyediakan beg kecemasan serta memastikan dokumen penting disimpan dengan selamat.

“Selain itu, orang ramai juga dinasihatkan agar tidak menyebarkan maklumat palsu yang boleh menimbulkan panik dan hubungi talian kecemasan 999 sekiranya memerlukan bantuan segera,” menurut kenyataan itu.

Semalam, Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Dr Mohd Hisham Mohd Anip berkata Ribut Tropika Senyar dikesan memasuki perairan Selat Melaka yang dijangka menyebabkan hujan lebat berterusan, angin kencang dan laut bergelora.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan