Oleh Fadzli Ramli
KOTA KINABALU, 28 Nov (Bernama) -- Peratusan undi awal yang tinggi mencecah 92.5 peratus Selasa lepas dilihat sebagai petanda positif yang kukuh terhadap kadar keluar mengundi semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 esok, khususnya di kawasan luar bandar.
Ketua Penyelidik Kajian Elektoral dan Geopolitik Sabah (GeoPES) Universiti Malaysia Sabah (UMS) Dr Eko Prayitno Joko berkata peratusan lebih tinggi berbanding 76 peratus pada PRN sebelum ini boleh dilihat sebagai antara indikator awal kepada keseluruhan mood dan motivasi pengundi.
“Walaupun ia tidak boleh dikatakan atau dijustifikasi sebagai satu cerminan terus terhadap pola pengundian yang akan berlangsung esok namun saya melihat pengundi sangat bermotivasi dan bersedia untuk membuat pilihan pada PRN kali ini," katanya kepada Bernama.
Beliau berkata mood undi awal berupaya mempengaruhi lebih ramai rakyat untuk keluar mengundi pada hari pengundian sekali gus membawa aspirasi masyarakat yang lebih besar bagi memenuhi kehendak masyarakat menerusi PRN kali ini, khususnya berkaitan isu tempatan.
Eko Prayitno berkata peratusan tinggi itu turut menjadi isyarat bahawa aspek logistik dan persiapan berada pada tahap memuaskan, lancar serta tanpa halangan besar sekali gus meyakinkan pengundi untuk keluar mengundi secara beramai-ramai pada hari pengundian.
“Peratusan tersebut menunjukkan tahap komitmen dan kesedaran sivik yang tinggi dalam kalangan pengundi awal, terutamanya anggota keselamatan... jadi, saya melihatnya sebagai petunjuk jelas mengenai tahap komitmen dan kesedaran sivik yang tinggi dalam kalangan mereka," katanya.
Beliau berkata kehadiran mereka mencerminkan disiplin dan rasa tanggungjawab yang tinggi terhadap proses demokrasi sekali gus mampu memberikan gambaran positif terhadap kelancaran perjalanan PRN kali ini.
Selasa lepas, 17,615 orang keluar mengundi awal di 58 pusat mengundi awal di seluruh Sabah membabitkan 8,347 anggota tentera serta pasangan dan 10,696 anggota polis serta pasangan layak mengundi.
Timbalan Dekan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan UMS Profesor Madya Dr Syahruddin Awang Ahmad pula berkata momentum peratusan keluar mengundi awal yang tinggi boleh menjadi petunjuk kepada peningkatan peratusan keluar mengundi keseluruhan esok.
"Jangkaan utama saya pada PRN ini adalah peningkatan peratusan keluar mengundi keseluruhan melebihi 70 peratus, disokong oleh momentum tinggi undi awal dan tumpuan kepada pengundi muda," katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata faktor undi awal ini hanyalah satu daripada banyak indikasi dan tidak boleh menjadi cerminan momentum keseluruhan pengundian yang berlangsung esok kerana ia hanya melibatkan sebahagian kecil daripada kira-kira 1.78 juta pengundi anak Sabah.
Syahruddin berkata peratusan itu juga menjadi petunjuk penting mengenai tahap kesedaran dan komitmen tinggi dalam kalangan pengundi yang terdiri daripada anggota polis, tentera serta pasangan mereka untuk menunaikan tanggungjawab demokrasi.
Beliau berkata secara tradisinya, majoriti pengundi awal cenderung menyokong parti yang membentuk kerajaan persekutuan atau negeri kerana mereka adalah penjawat awam dalam sektor keselamatan.
"Oleh itu, peratusan tinggi ini boleh ditafsirkan sebagai isyarat sokongan padu dan konsisten kepada blok yang sedang memimpin terutamanya bagi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Barisan Nasional (BN), yang sebahagiannya seiring dengan kerajaan pusat," katanya.
Penyelidik GeoPES UMS Dr Azizan H Morshidi berkata peratusan keluar mengundi awal yang tinggi dalam kalangan anggota keselamatan dilihat berpotensi memberi kelebihan strategik kepada parti yang sedang memerintah.
Beliau berkata ini juga boleh menjadi satu tanda amaran kepada pembangkang supaya mempergiat usaha mobilisasi dan kempen mereka menjelang hari pengundian.
“Berdasarkan teori tingkah laku politik berdasarkan pilihan rasional, peratusan keluar mengundi yang tinggi ini menunjukkan faktor institusi seperti disiplin ketenteraan dan kemudahan disediakan memainkan peranan utama dalam memastikan kelancaran proses pengundian.
Azizan juga berkata peratusan tinggi itu memberi indikasi bahawa terdapat minat mendalam terhadap isu nasional seperti Perjanjian Malaysia 1963 dan pembangunan Sabah, dengan perbincangan hangat di media sosial mengenai video kempen yang menekankan perpaduan.
Untuk berita terkini PRN Sabah ke-17, sila layari https://prn.bernama.com/sabah/index.php
-- BERNAMA
