AM

SUKARELAWAN MUDA GABUNG TENAGA BANTU PENDUDUK KAMPUNG SELABAK HADAPI BANJIR

28/11/2025 07:17 PM

TELUK INTAN, 28 Nov (Bernama) -- Saat air mula menenggelami hampir seluruh Kampung Selabak di sini, sekumpulan anak muda tampil membantu penduduk, khususnya warga emas yang berdepan kesukaran menyelamatkan diri dan harta benda.

Menamakan diri mereka sebagai Sukarelawan Kampung Selabak, 12 anak muda berusia antara 21 hingga 31 tahun itu bergabung tenaga selepas melihat keadaan banjir di kampung berkenaan semakin memburuk sejak 26 Nov lepas.

Ketua Sukarelawan Kampung Selabak, Azril Iskandar Yunus, 31, berkata kumpulan itu diwujudkan secara spontan selepas menyedari banyak penduduk, terutama warga emas tidak berupaya mengalihkan barangan penting ketika air mula memasuki kediaman mereka.

“Situasi seumpama ini pertama kali berlaku di Kampung Selabak. Kami memang tak sangka banjir akan berlaku sehingga banyak dalam kalangan penduduk terpinga-pinga sama ada nak menyelamatkan diri atau barangan peribadi terlebih dahulu.

“Banyak penduduk kampung ini adalah orang tua dan ada antaranya yang tak cukup kuat untuk menyelamatkan harta benda sendiri. Disebabkan itu, saya panggil rakan-rakan terdekat untuk menubuhkan kumpulan ini bagi membantu orang kampung,” katanya ketika ditemui Bernama di Kampung Selabak hari ini.

Bapa kepada dua cahaya mata itu berkata antara tugas utama kumpulan berkenaan ialah membantu memindahkan peralatan rumah serta barangan peribadi penduduk ke tempat selamat.

Beliau berkata walaupun pergerakan mereka terhad kerana tidak menggunakan sebarang aset atau kenderaan air, pasukan sukarelawan tetap gigih meredah banjir dari rumah ke rumah setiap hari.

“Kami mulakan tugas seawal 8 pagi hingga 6 petang dan pada masa sama kami juga akan berpecah kepada beberapa kumpulan kecil bagi memastikan lebih banyak bantuan dapat diberikan kepada penduduk kampung,” katanya yang juga mekanik kereta di kampung itu.

Azril Iskandar berkata penduduk kampung amat menghargai bantuan yang dihulurkan selain menyatakan rasa lega kerana ada anak muda tampil membantu ketika mereka berdepan kesukaran menyelamatkan harta benda sendiri.

“Niat kami hanya untuk membantu dan kami akan terus melakukan apa yang termampu sehingga banjir di kawasan kampung ini surut dan penduduk dapat menjalankan aktiviti harian masing-masing seperti biasa,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi sukarelawan Ku Arif Rizuan Ku Mohd Rizal, 21, berkata meskipun gigih membantu penduduk kampung, kumpulan berkenaan tetap berwaspada dengan ancaman binatang berbisa seperti ular.

Penuntut Universiti Teknologi MARA (UiTM) Puncak Alam itu berkata mereka menggunakan alatan seperti buluh atau kayu sebagai alat melindungi diri daripada sebarang ancaman berbahaya.

“Kami juga sentiasa memakai jaket keselamatan walaupun boleh dikatakan air yang memasuki kawasan kampung ini hanya sedalam 0.5 meter. Kami kena berwaspada dengan apa jua keadaan yang akan berlaku,” katanya.

Ditanya pengalaman sepanjang menyertai kumpulan itu, anak sulung daripada dua beradik itu berkata ia mengajar dirinya erti tanggungjawab selain meningkatkan semangat kebersamaan dalam menghadapi pelbagai dugaan.

Sehingga 4 petang hari ini, sebanyak 5,501 mangsa daripada 1,665 keluarga telah ditempatkan di 46 pusat pemindahan sementara (PPS) seluruh negeri, termasuk di Hilir Perak yang mencatatkan 1,391 mangsa daripada 439 keluarga dengan 11 PPS dibuka sejak 24 Nov lepas.

-- BERNAMA

 

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan