KUALA LUMPUR, 28 Nov (Bernama) -- Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah dipilih semula sebagai Naib Presiden Ikatan Koperasi Antarabangsa Asia dan Pasifik (ICA-AP).
ANGKASA menerusi kenyataan hari ini memaklumkan Abdul Fattah sekali lagi mendapat kepercayaan negara anggota pada Perhimpunan Serantau ICA-AP ke-17 di Colombo, Sri Lanka semalam, yang menghimpunkan kepimpinan koperasi lebih 30 negara dari seluruh Asia Pasifik bersempena Tahun Koperasi Antarabangsa 2025.
“Pemilihan semula itu mencerminkan pengiktirafan terhadap usaha berterusan beliau dalam memperkukuh jaringan koperasi, mengembangkan perdagangan koperasi-ke-koperasi, meningkatkan penyertaan belia dan wanita serta mengekalkan koperasi sebagai model ekonomi yang adil, inklusif dan berdaya tahan.
“Keyakinan yang ditunjukkan negara anggota mencerminkan penghormatan terhadap visi beliau serta rekod pencapaian yang telah meletakkan Malaysia sebagai peneraju utama pembangunan koperasi di peringkat Asia Pasifik,” menurut kenyataan itu.
ANGKASA memaklumkan dengan mandat baharu itu, peranan Malaysia dalam memperkukuh keutuhan ekonomi koperasi serantau akan terus diperkasa.
Sementara itu, Abdul Fattah dalam kenyataan sama menzahirkan penghargaan kepada anggota ICA-AP atas kepercayaan yang diberikan sambil menyifatkan pemilihan sebagai amanah besar untuk mempertahankan kepentingan koperasi Malaysia di peringkat serantau.
“Koperasi kini semakin relevan dalam era dunia yang berdepan cabaran ketidaktentuan ekonomi dan jurang sosial,” katanya.
Abdul Fattah turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan, khususnya Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dan agensinya serta semua pihak yang menyokong segala usaha yang dimainkan ANGKASA dalam memacu pertumbuhan gerakan koperasi baik di peringkat nasional dan antarabangsa.
Selain itu, ANGKASA turut memaklumkan Malaysia juga menerima dua lagi pengiktirafan antarabangsa penting melalui pemilihan semula anggota kepimpinannya ke pengurusan Jawatankuasa ICA-AP.
Mereka ialah Timbalan Presiden ANGKASA Prof Madya Datuk Dr Abdul Rahman Abdul Razak Shaik yang dilantik sebagai Pengerusi ICA-AP Committee on Agriculture & Environment (ICAE) dan dilantik semula sebagai Naib Pengerusi ICA-AP Committee on Consumer Cooperation.
Naib Presiden ANGKASA Datuk Che Mohd Shukree Che Isa pula dilantik semula sebagai Naib Pengerusi ICA-AP Credit & Banking Committee, sebuah jawatankuasa yang memainkan peranan penting dalam pembangunan sistem kredit koperasi serantau.
Berikutan pelantikan itu, Malaysia kini berada pada kedudukan lebih kukuh dalam mempengaruhi hala tuju dasar koperasi di rantau Asia Pasifik, sekali gus membuka lebih banyak peluang kerjasama strategik, perdagangan antarabangsa dan peningkatan kapasiti koperasi tempatan.
ANGKASA juga yakin mandat itu akan membuka lebih banyak ruang kerjasama strategik dan peluang perdagangan rentas negara, yang memberi manfaat besar kepada gerakan koperasi dan jutaan anggota koperasi di seluruh Malaysia.
Menurut kenyataan itu, sepanjang perhimpunan di Colombo itu, ANGKASA turut menonjolkan keberhasilan koperasi pengguna, koperasi sekolah, koperasi kariah masjid serta produk koperasi tempatan yang kini menarik perhatian negara-negara anggota lain.
Persidangan itu turut merangkumi pelbagai sesi teknikal yang menekankan kepentingan meluaskan pelaburan mampan, pemerkasaan inovasi digital, penerapan teknologi baharu dalam sektor pertanian serta pembangunan sistem pembayaran rentas sempadan bagi memperkasa perdagangan antarabangsa antara koperasi.
-- BERNAMA
