POLITIK

REKOD SELESAI MASALAH AIR JADI KEKUATAN LIMUS DI KUALA PENYU

28/11/2025 08:34 PM

Oleh Syed Iylia Hariz Al-Qadri

KUALA PENYU, 28 Nov (Bernama) -- Penyelesaian isu air yang sekian lama menghantui penduduk menjadi kekuatan utama calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Penyu Datuk Limus Jury dalam pecutan terakhir kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.

Selepas hampir tiga penggal memegang mandat, Limus berkata projek bekalan air berskala besar yang sedang dan telah dilaksanakan di kawasan itu menjadi bukti jelas keupayaannya menyelesaikan masalah asas rakyat, sekali gus membuka laluan kepada kemasukan pelaburan baharu ke daerah berkenaan.

“Kalau ikut apa yang ada dalam ucapan saya, projek yang sedang berjalan itu, projek bekalan air daerah Kuala Penyu, untuk Kuala Penyu saja sudah RM100 juta sedang dalam pembinaan.

“Untuk penggantian paip-paip lama ini, RM40 juta dan juga untuk membina tangki-tangki di kawasan yang tinggi supaya kawasan-kawasan tinggi mendapat liputan air, itu RM21 juta,” katanya kepada Bernama ketika ditemui pada siri kempen di Kiambur di sini semalam.

Beliau berkata antara kejayaan terbesar ialah penyelesaian masalah air di kawasan Menumbok, yang sebelum ini turut berdepan isu sama sejak sekian lama.

“Kami dulu sebelum mula-mula saya menjadi wakil rakyat, isu air ini yang paling hangat diperkatakan di daerah Kuala Penyu tapi alhamdulillah orang bilang di Menumbok, kami sudah selesai air ini. Projek itu RM50 juta. Sudah siap. Sekarang sudah berjalan untuk mengagih-agihkan air,” katanya.

Dengan keyakinan itu, Limus berkata pelaksanaan projek air yang hampir diselesaikan memberi kelebihan besar kepada Kuala Penyu untuk menarik minat pelabur, khususnya dalam sektor pelancongan.

Antara projek pelancongan utama yang bakal menjadi pemangkin ekonomi ialah pembinaan sebuah hotel lima bintang, Club Med di Tanjung Aru di sini, yang dijangka siap tahun depan dan menawarkan sehingga 3,000 peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan.

Selain itu, pembangunan perumahan dan kemudahan awam turut rancak dilaksanakan termasuk 100 unit rumah kedai oleh Lembaga Pembangunan dan Perumahan (LPP) serta inisiatif memperindah Tasik Setumpok.

Beliau turut menyeru pengundi mengekalkan mandat kepada GRS bagi memastikan kesinambungan pembangunan daerah itu, selaras Pelan Strategik Daerah Kuala Penyu 2026-2035 yang diumumkan Ketua Menteri baru-baru ini.

Limus berhadapan perlawanan enam penjuru di DUN Kuala Penyu

Kuala Penyu terletak kira-kira 114 kilometer dari Kota Kinabalu, mempunyai 22,288 pemilih berdaftar yang layak menunaikan tanggungjawab memilih bagi PRN ke-17 esok.

Untuk berita-berita terkini tentang PRN Sabah ke-17, sila layari https://prn.bernama.com/sabah/index.php 

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan