KUALA LUMPUR, 28 Nov (Bernama) -- Situasi banjir di lima negeri, iaitu Terengganu, Selangor, Pahang, Negeri Sembilan dan Perak terus menyaksikan peningkatan jumlah mangsa di pusat pemindahan sementara (PPS) manakala Perlis, Kelantan dan Kedah menunjukkan penurunan, setakat malam ini.
Di TERENGGANU jumlah mangsa banjir meningkat kepada 8,909 orang daripada 2,742 keluarga setakat 8 malam ini, berbanding 6,335 orang daripada 1,913 keluarga petang tadi, dan ditempatkan di 119 PPS yang dibuka di Kemaman, Marang, Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Setiu, Dungun, Hulu Terengganu dan Besut.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Terengganu Supt Afandi Husin berkata beberapa jalan di bandar raya Kuala Terengganu, iaitu Jalan Kamaruddin-Jalan Batu Burok dan Jalan Pengadang Akar-Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu-Wisma Darul Iman ditutup kepada kenderaan ringan.
Di SELANGOR, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 3,542 orang daripada 973 keluarga berbanding 3,125 orang daripada 838 keluarga yang direkodkan pada sebelah petang.
Menurut laman web Infobencana JKM, sebanyak 27 PPS dibuka merangkumi lima daerah, iaitu Klang, Kuala Selangor, Sabak Bernam, Sepang dan Kuala Langat.
Di PAHANG, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 1,705 orang daripada 538 keluarga berbanding 1,066 orang daripada 333 keluarga petang tadi.
Menurut Infobencana JKM, daerah Kuantan merekodkan jumlah tertinggi, iaitu 639 orang daripada 218 keluarga yang ditempatkan di 11 PPS, diikuti Maran dengan 403 orang (97 keluarga) di tujuh PPS , Raub, 336 orang (102 keluarga) di 17 PPS dan 327 orang (121 keluarga) di 12 PPS di Lipis.
Di PERAK, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 6,429 orang daripada 1,980 keluarga yang berlindung di 47 PPS di enam daerah, berbanding 5,503 orang daripada 1,663 keluarga petang tadi.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Perak memaklumkan daerah Manjung kekal dengan jumlah mangsa tertinggi, iaitu 2, 260 orang daripada 686 keluarga.
Di NEGERI SEMBILAN, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 313 orang daripada 127 keluarga setakat 8 malam ini, berbanding 156 mangsa daripada 47 keluarga petang tadi dengan kesemua mereka ditempatkan di tujuh PPS.
Sementara itu, di PERLIS jumlah mangsa semakin berkurangan kepada 7,116 orang berbanding 7,345 pada sebelah petang, dengan kesemua ditempatkan di 24 PPS yang beroperasi di Padang Besar, Kangar dan Arau.
Di KELANTAN pula menyaksikan penurunan jumlah mangsa kepada 3,448 orang daripada 1,273 keluarga malam ini berbanding 3,484 orang sebelum ini, dan ditempatkan di 19 PPS di Tumpat, Pasir Mas, Tanah Merah, Kuala Krai, Machang dan Gua Musang.
Sementara itu, menurut Public InfoBanjir Jabatan Pengairan dan Saliran, paras air di beberapa sungai utama di Kelantan terus menunjukkan bacaan melepasi tahap bahaya, amaran dan waspada setakat 8.15 malam ini, iaitu Sungai Golok di Rantau Panjang; Sungai Kusial di Kusial Baru, Tanah Merah; Sungai Galas di Limau Kasturi, Gua Musang ; dan Sungai Kelantan di Kuala Krai.
Di KEDAH, jumlah mangsa menurun kepada 3,758 orang daripada 1,193 keluarga setakat 8 malam ini berbanding 4,280 orang daripada 1,367 keluarga, petang tadi.
Menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Kedah, kesemua mangsa dari Kubang Pasu, Kota Setar dan Pokok Sena masih berlindung di 18 PPS.
Sementara itu, di MELAKA Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Azhar Arshad merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Melaka berkata sebanyak 20 mangsa daripada empat keluarga telah ditempatkan di empat PPS di Alor Gajah.
Ia susulan tiga sungai, iaitu Sungai Melaka di Cheng, Sunga Melaka di Melaka Pindah dan Sungai Durian Tunggal di Batu 11 Air Resam mencatatkan paras bahaya susulan hujan berterusan berintensiti tinggi sejak semalam, menyebabkan beberapa kawasan di Daerah Alor Gajah dan Melaka Tengah dilanda banjir.
-- BERNAMA
