KUALA LUMPUR, 1 Dis (Bernama) -- MBSB Investment Bank Bhd (MBSB IB) menjangkakan keluaran dalam negara kasar Malaysia (KDNK) akan berkembang sebanyak 4.6 peratus tahun ini.
Ini didorong oleh pertumbuhan yang kukuh pada suku ketiga 2025 dan kesan negatif yang lebih lemah daripada pengetatan peraturan perdagangan Amerika Syarikat ke atas aktiviti pengeluaran dan perdagangan luar Malaysia, katanya melalui satu nota penyelidikan hari ini.
KDNK negara meningkat pada kadar yang lebih pantas sebanyak 5.2 peratus dari tahun ke tahun pada suku ketiga 2025 berbanding suku kedua 2025 (4.4 peratus dari tahun ke tahun).
Ini lebih tinggi daripada jangkaan pertumbuhan 5.1 peratus dari tahun ke tahun kerana terdapat kesederhanaan yang lebih tirus dalam sektor perkhidmatan.
"Selain pemulihan dalam output perlombongan, Malaysia terus mendapat manfaat daripada kitaran menaik teknologi global.
"Memasuki tahun 2026, kami menjangkakan daya tahan dalam permintaan domestik akan terus memacu pertumbuhan ekonomi Malaysia susulan sokongan pasaran buruh yang sihat dan inflasi yang stabil," katanya.
Menurut MBSB IB, indeks pelopor negara telah pulih dan menokok sebanyak 0.8 peratus dari tahun ke tahun pada September 2025 selepas jatuh -0.3 peratus dari tahun ke tahun dalam tempoh dua bulan sebelumnya.
Prestasi itu didorong oleh peningkatan dalam dua komponen, yang diterajui oleh pengembangan dua angka dalam bilangan syarikat baharu yang didaftarkan (16 peratus dari tahun ke tahun) dan import sebenar semikonduktor (15.8 peratus dari tahun ke tahun).
Bank pelaburan itu berkata pertumbuhan indeks pengeluaran perindustrian Malaysia naik sehingga 5.7 peratus dari tahun ke tahun pada September 2025 (Ogos 2025: 4.8 peratus dari tahun ke tahun), melangkaui anggaran dan jangkaan pasarannya selepas didorong oleh pertumbuhan yang berterusan di ketiga-tiga sektor utama.
"Pasaran buruh Malaysia kekal berdaya tahan pada September 2025, dengan kadar pengangguran tetap stabil pada tiga peratus untuk bulan kelima berturut-turut, tahap terendah dalam satu dekad.
"Perdagangan pengedaran Malaysia melonjak kepada 6.6 peratus dari tahun ke tahun pada September 2025 (Ogos 2025: 4.9 peratus dari tahun ke tahun), disokong oleh pengembangan yang lebih mantap dalam semua segmen," katanya lagi.
-- BERNAMA
