TANAH MERAH, 1 Dis (Bernama) -- Seorang wanita maut dipercayai dibunuh suaminya di Kampung Paku, Gual Ipoh, di sini pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Tanah Merah Supt Mohd Haki Hasbullah ketika dihubungi Bernama hari ini mengesahkan kejadian berkenaan.
Beliau berkata siasatan lanjut masih dijalankan dan perincian kes berkenaan akan dimaklumkan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan menerusi kenyataan media dalam tempoh terdekat.
Sementara itu, seorang ahli keluarga wanita berkenaan berkata mangsa bekerja sebagai tukang masak di Selayang, Selangor sejak setahun lepas dan baru tiba di rumahnya kira-kira 9 pagi tadi untuk bercuti.
Sementara itu, Mohd Haki dalam kenyataan berkata mangsa dikenali sebagai Mastura Abdullah, 40, dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Beliau berkata suami wanita itu telah ditahan di kediamannya manakala motif kejadian masih dalam siasatan.
"Mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Tanah Merah untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.
“Polis menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi atau penyebaran maklumat tidak sahih berhubung kejadian ini bagi mengelakkan gangguan kepada siasatan serta menjaga sensitiviti keluarga mangsa," katanya.
-- BERNAMA
