JENAYAH & MAHKAMAH

KECUAIAN PERUBATAN: MAHKAMAH RAYUAN NAIKKAN GANTI RUGI KEPADA RM1.28 JUTA 

01/12/2025 09:00 PM

PUTRAJAYA, 1 Dis (Bernama) -- Mahkamah Rayuan menaikkan jumlah ganti rugi yang dianugerahkan kepada seorang jurugambar video bebas dan jurukamera kepada RM1,284,705.88 dalam kes kecuaian perubatan.

Barisan panel tiga hakim yang diketuai oleh Hakim Datuk Dr Choo Kah Sing membenarkan sebahagian rayuan Wee You Kheong terhadap kuantum ganti rugi, selepas mendapati terdapat merit dalam rayuannya.

Panel itu yang turut dianggotai Hakim Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril dan Datuk Nadzarin Wok Nordin, memerintahkan Putra Specialist Hospital (Melaka) Sdn Bhd dan Dr Zulkefli Abdul Rashid masing-masing membayar kos guaman sebanyak RM30,000.

Pada Julai tahun lepas, Mahkamah Tinggi menganugerahkan Wee RM783,011.88 sebagai ganti rugi serta RM190,000 sebagai kos guaman, selepas memutuskan bahawa kedua-dua pihak bertanggungjawab atas kecuaian berkenaan.

Pada hari ini, Mahkamah Rayuan meningkatkan jumlah ganti rugi sebanyak RM501,694.

Ketika menyampaikan keputusan mahkamah, Hakim Dr Choo menaikkan jumlah nilai penjagaan yang diberikan oleh ahli keluarga daripada RM6,000 kepada RM9,600, kos kaki palsu hidraulik daripada RM21,095 kepada RM42,188 yang dibeli Wee selepas amputasi, serta ganti rugi am bagi kesakitan dan penderitaan serta kehilangan keseronokan kehidupan daripada RM125,000 kepada RM300,000.

Mahkamah Rayuan turut menganugerahkan ganti rugi teruk sebanyak RM300,000 dan RM2,000 bagi pengubahsuaian rumah yang sebelum ini tidak diberikan oleh Mahkamah Tinggi. 

Wee, 60, terlibat dalam kemalangan jalan raya di Lebuhraya Utara-Selatan pada Ogos 2015, ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Johor Bahru bagi tugasan kerja.

Kenderaan jenis van yang dinaikinya bersama kru produksi melanggar bahagian belakang sebuah lori, menyebabkan kecederaan serius pada kaki kirinya.

Wee memfailkan saman sivil terhadap empat defendan, iaitu pemandu van, pemilik van, hospital dan pakar berkenaan.

Mahkamah Tinggi mendapati pemandu dan pemilik van itu cuai serta memerintahkan mereka membayar RM101,574 kepada Wee.

Hospital dan pakar pula didapati bertanggungjawab atas kecuaian perubatan susulan salah diagnosis serta kecuaian kelewatan dalam mendiagnosis kecederaan vaskular.

Wee mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Rayuan berhubung kuantum ganti rugi terhadap hospital dan pakar itu.

Hospital dan pakar berkenaan serta pemandu dan pemilik van tidak mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi.

Dalam prosiding hari ini, Wee diwakili peguam K. Karthi, Alicia Chin dan Lee Xin Yu. Peguam Nik Mohd Hasrul Nik Hamdan dan Navamalar A. Ganesan masing-masing mewakili pihak hospital berkenaan.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan