AM

MALAYSIA TINGKAT PEMBANGUNAN INDUSTRI KOPI, IMPORT MASIH TINGGI AKIBAT SSR RENDAH

03/12/2025 02:49 PM

KUALA LUMPUR, 3 Dis (Bernama) -- Malaysia masih bergantung pada import biji kopi bagi memenuhi permintaan domestik berikutan kadar sara diri (SSR) yang rendah, walaupun pelbagai usaha dijalankan bagi meningkatkan pengeluaran tempatan.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata pada 2024, SSR kopi dicatatkan sebanyak 33.2 peratus, sekali gus menunjukkan keperluan mengimport biji kopi untuk menampung permintaan pasaran tempatan.

“Malaysia telah mengimport sebanyak 126,062 tan metrik biji kopi pada 2024 untuk memenuhi keperluan industri dan pengguna. Pengimportan ini sebahagian besarnya melibatkan varieti Robusta dan Arabica kerana pengeluaran tempatan adalah terhad,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Datuk Rosni Sohar mengenai sebab Malaysia masih mengimport 90 peratus biji kopi walaupun pasaran kopi domestik bernilai lebih USD1 bilion, serta usaha kementerian untuk meningkatkan pengeluaran tempatan dan menyokong pekebun kecil yang menghadapi kos tinggi dan produktiviti rendah.

Mohamad berkata penanaman kopi yang tertumpu di Johor, Sabah dan Sarawak merangkumi tiga varieti utama, iaitu Liberica (87 peratus), Robusta (10 peratus) dan Arabica (tiga peratus), melibatkan keluasan keseluruhan 2,924 hektar dengan pengeluaran 2,861 tan metrik pada 2024.

Beliau berkata Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) melalui Jabatan Pertanian (DOA) komited menyokong pekebun kecil melalui pelbagai insentif in-kind, termasuk bahan tanaman, baja, peralatan ladang, kawalan perosak dan kemudahan pascatuai.

Di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), sebanyak RM4.5 juta diperuntukkan bagi membangunkan 300 hektar kawasan kopi melibatkan 270 petani, manakala pelaksanaan diteruskan di bawah RMK13 dengan peruntukan RM5 juta untuk keluasan yang sama.

“Pada 2026, RM1.5 juta akan diperuntukkan bagi memperkukuh pembangunan industri ini,” katanya.

Mohamad berkata usaha turut merangkumi penanaman semula pokok tua dan pemulihan kebun terbiar menggunakan varieti lebih produktif seperti Klon Liberica MKL5, MKL6 dan MKL7 selain latihan, bimbingan teknikal dan sokongan pengurusan bagi membantu petani mengamalkan kaedah moden dan mampan.

Pembangunan industri kopi tempatan juga katanya, merangkumi penyelidikan dan peningkatan benih melalui kerjasama dengan MARDI.

Beliau berkata usaha meneroka varieti unggul baharu sedang dijalankan termasuk MKL-8, MKL-9 dan MKL-10, yang kini dalam tempoh pembangunan dan ujian dengan institusi penyelidikan bagi memastikan potensi hasil dan keseragaman penuaian dapat dimanfaatkan oleh pekebun kecil.

Menjawab kebimbangan mengenai harga kopi di pasaran, beliau berkata harga tidak ditentukan mengikut negeri, tetapi bergantung pada kos pengeluaran, pemprosesan dan kualiti produk.

Bagi menarik minat generasi muda, kementerian turut menyediakan bantuan permulaan, termasuk geran hingga RM50,000 bagi mereka yang ingin menceburi industri itu. 

-- BERNAMA 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan