EKONOMI

CROESUS IT SASAR PENGEMBANGAN TEKNOLOGI PERLADANGAN SUSULAN PENYENARAIAN LEAP

03/12/2025 03:17 PM

KUALA LUMPUR, 3 Dis (Bernama) -- Croesus IT Holdings Bhd mengukuhkan tumpuannya terhadap teknologi perladangan sebagai pemacu pertumbuhan utama selepas penyenaraian di Pasaran LEAP Bursa Malaysia hari ini.

Pengarah Urusan Richard Liau berkata segmen teknologi perladangan merupakan pasaran penting untuk pengembangan syarikat, khususnya di Malaysia dan Indonesia, dan Croesus IT menyasarkan untuk mengintegrasikan penyelesaian digitalnya ke dalam segmen berkenaan.

“Perisian perladangan ialah bidang utama bagi kami. Indonesia dan Malaysia merupakan negara sasaran utama pada ketika ini,” katanya pada sidang media selepas majlis penyenaraian syarikat itu di sini hari ini.

Penyelesaian perladangan Croesus IT menggabungkan SAP Business One sebagai sistem asas operasi bersama modul hadapan yang dibangunkan sendiri merangkumi pengurusan checkroll, analisis penggunaan kenderaan, pelaporan blok dan proses khusus perladangan yang lain.

Liau berkata Croesus IT akan memanfaatkan peningkatan yang diperoleh melalui penyenaraian itu untuk menyokong usaha pengembangan serantau, terutamanya di Singapura dan Australia.

“Penyenaraian ini bertujuan meningkatkan kehadiran pasaran kami di peringkat global dan serantau. Kami menyasarkan untuk berkembang di Singapura dan Australia selepas penyenaraian,” katanya.

Beliau berkata Croesus IT turut berhasrat memanfaatkan keperluan e-invois yang bakal dilaksanakan di Singapura, berdasarkan pengalaman daripada pelaksanaan berfasa e-invois di Malaysia.

Penyenaraian Croesus IT dilaksanakan melalui kaedah pengenalan (introduction) dan bukan tawaran awam.

Ia melibatkan penyenaraian keseluruhan modal saham terbitannya, merangkumi 100 juta saham biasa pada harga 12 sen sesaham, sekali gus memberikan permodalan pasaran sebanyak RM12 juta.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan