SUNGAI PETANI, 3 Dis (Bernama) -- Seorang tukang masak maut, manakala rakannya cedera setelah kenderaan dinaiki mereka terjunam ke dalam sungai di Jalan Pengkalan, dekat sini pada tengah malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda ACP Hanyan Ramlan berkata pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian terbabit pada 12.55 tengah malam.
"Mangsa, Loo Eng Huat, 34, yang memandu kereta jenis Toyota Vios berwarna hitam, gagal menyelamatkan diri selepas kereta dipandunya terbabas dan jatuh ke dalam sungai ketika melalui sebuah jambatan di lokasi kejadian.
"Penumpang kereta, Ooi Jing Huang, 30, juga bekerja sebagai tukang masak dilaporkan mengalami kecederaan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Hanyan berkata siasatan awal mendapati kereta dari arah Riverfront Sungai Petani menghala ke arah Taman Intan itu hilang kawalan sebelum terlanggar penghadang besi jambatan, lalu terbabas ke dalam sungai.
"Penumpang sempat keluar dari kereta sebelum tenggelam, manakala bomba mengeluarkan pemandu yang kemudiannya disahkan telah meninggal dunia dan mayat dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim untuk bedah siasat," katanya.
-- BERNAMA
