EKONOMI

KEMENTERIAN BAHARU JADI TITIK STRATEGIK UNTUK SEKTOR PENGANGKUTAN SABAH -- CILTM

03/12/2025 03:43 PM

Oleh Jailani Hasan

LABUAN, 3 Dis (Bernama) -- Sabah telah mengambil langkah jitu dalam memodenkan tadbir urus pengangkutannya dengan memperluaskan portfolio kementerian yang sudah lama dilihat sebagai penting kepada masa depan ekonomi negeri itu, menurut Pengerusi Institut Berpiagam Pengangkutan dan Logistik Malaysia (Seksyen CILTM Sabah), Daniel Doughty.

CILTM sentiasa memberikan sokongan ke arah pengembangan sektor pengangkutan negeri melalui peningkatan status kementerian berkaitan sejak penubuhan Majlis Logistik Sabah pada Jun 2024.

Saranan tersebut, yang dipacu oleh keyakinan profesional dan diperkuat oleh pihak berkepentingan industri, kini selaras dengan arahan kepimpinan negari, katanya.

Doughty berkata keputusan kerajaan Sabah untuk mengumpulkan pengangkutan di bawah Kementerian Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan yang telah diperluaskan menandakan mandat peringkat kementerian yang menempatkan dasar logistik serta pengangkutan sebagai teras dalam pertumbuhan perindustrian, transformasi rantaian bekalan dan perancangan infrastruktur. 

"Keputusan kerajaan negeri ini bukan sahaja tepat pada masanya, (tetapi) juga berani, ia perlu dan amat penting. 

"Langkah ini adalah titik fleksi yang strategik memandangkan kerajaan negeri telah memilih kluster yang betul pada masa yang tepat, mengukuhkan bahawa pengangkutan kini tidak dapat dipisahkan daripada industri, pertumbuhan ekonomi dan pemodenan rantaian bekalan," katanya melalui satu kenyataan kepada Bernama hari ini. 

Beliau berkata pengangkutan bukan lagi sekadar industri sokongan tetapi adalah "tulang belakang masa hadapan perindustrian Sabah", sambil menambah bahawa penyusunan semula ini memberikan isyarat kematangan strategik dan komitmen jangka panjang untuk koheren dasar, penjajaran pengawalseliaan serta pembangunan yang terselaras.

"Sekarang kerja sebenar sudah bermula - CILTM Sabah mencadangkan pelan induk logistik dan pengangkutan yang komprehensif Sabah, yang berpandu kepada kepakaran, akauntabiliti serta terselaras untuk dekad akan datang," katanya.

CILTM ingin melanjutkan penghargaan kepada Datuk Ewon Benedick atas pelantikannya sebagai Timbalan Ketua Menteri Sabah III serta Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan, menggambarkan peranan itu sebagai signifikan kepada kemajuan sosioekonomi negara. 

Beliau berkata institut itu sudah lama berasakan bahawa Sabah perlu  membangunkan pelan induk logistik dan pengangkutannya sendiri, struktur menteri yang baharu ini akan menyediakan laluan yang bertanggungjawab dan boleh dilaksanakan bagi mencapainya. 

"CILTM yakin bahawa misi ini akan menerima sokongan industri, diperkukuhkan oleh penjajaran antara agensi dan dipandu oleh visi Sabah yang jelas. 

"Seksyen CILTM Sabah mengulangi kesediaannya untuk menyokong kerajaan negeri melalui perancangan teknikal, perundingan industri dan rangka kerja tadbir urus profesional, selain akan terus menyatukan rakan kongsi di seluruh sektor swasta, agensi kerajaan serta akademik bagi memajukan pelan tindakan logistik jangka panjang Sabah," katanya.

Doughty menambah seksyen Sabah tidak lama lagi akan menetapkan satu lagi pencapaian penting dalam gerakan dengan membawa industri bersama-sama dalam acara tahunannya pada 14 Disember di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), Kota Kinabalu, untuk mengiktiraf pencapaian industri, menghormati bakat tempatan dan mengukuhkan komitmen institut dalam memantapkan kapasiti logistik, standard dan daya saing global Sabah.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan