AM

DOF BERI KELULUSAN PUKAT TUNDA MUSIM TENGKUJUH SEHINGGA FEBRUARI 2026

03/12/2025 05:08 PM

PUTRAJAYA, 3 Dis (Bernama) -- Pelaksanaan Pukat Tunda Musim Tengkujuh (PTMT) Khas bagi tahun 2025 diluluskan khusus mulai 1 Dis 2025 hingga 28 Feb 2026.

Kelulusan berkenaan diberikan secara terkawal, mengambil kira keperluan sosioekonomi nelayan serta kepentingan kelestarian sumber perikanan negara, bagi memastikan keterjaminan makanan terus berada pada tahap optimum.

Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Datuk Adnan Hussain, berkata sebanyak 223 kelulusan PTMT Khas telah dikeluarkan merangkumi empat negeri pantai timur iaitu Terengganu (152 kelulusan), Kelantan (41), Pahang (29) dan satu kelulusan bagi kawasan Johor Timur.

“DOF menegaskan semua kelulusan diberikan berdasarkan syarat ketat, termasuk penggunaan vesel tradisi kurang 15 berat muatan kasar (GRT), pengendalian oleh pemilik sendiri, pemasangan peralatan keselamatan mencukupi serta pematuhan saiz mata pukat melebihi 38 milimeter.

“Setiap vesel turut diwajibkan memasang Alat Penyisih Penyu sebelum kelulusan dikeluarkan sebagai langkah memastikan perlindungan terhadap spesies marin terancam seperti penyu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sepanjang tempoh operasi, semua vesel PTMT Khas hanya dibenarkan beroperasi melebihi dua batu nautika dari pesisir pantai dan tertakluk kepada waktu operasi dari 6 pagi hingga 6 petang.

Vesel juga diwajibkan membawa surat kelulusan khas semasa operasi dan sebarang permohonan pelanjutan selepas 28 Feb 2026 tidak dibenarkan sama sekali serta DOF juga akan menjalankan pemeriksaan berkala dan kajian sumber bagi memastikan tahap pematuhan berada pada tahap optimum.

Adnan menegaskan PTMT Khas bukanlah kelonggaran bebas kepada vesel Zon A, sebaliknya sebuah mekanisme terurus yang dipantau ketat bagi mengimbangi kelangsungan hidup nelayan ketika musim tengkujuh tanpa menjejaskan sumber ikan negara.

“Sekiranya terdapat aduan atau bukti pelanggaran syarat, kelulusan PTMT akan dibatalkan serta-merta untuk menjaga keseimbangan ekologi dan komuniti nelayan pantai,” katanya.

Beliau turut mengingatkan bahawa tindakan undang-undang boleh diambil terhadap mana-mana pengusaha PTMT yang melanggar syarat kelulusan. Di bawah Akta Perikanan 1985, Seksyen 8(b), pelanggaran syarat lesen boleh dikenakan denda maksimum sehingga RM20,000, penjara, atau kedua-duanya sekali.

DOF kekal komited melaksanakan pengurusan perikanan berasaskan sains, bertanggungjawab dan mampan, bagi memastikan keterjaminan makanan negara terpelihara serta komuniti nelayan terus berdaya saing dalam jangka panjang, kata Adnan.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan