KUALA LUMPUR, 3 Dis (Bernama) – Prinsip ‘tone from the top’ iaitu kepimpinan melalui teladan adalah satu aspek penting yang perlu diambil kira dalam pentadbiran dan pengurusan sesebuah organisasi.
Pengarah SPRM Kuala Lumpur, Mohamad Zakkuan Talib berkata, prinsip itu menjamin proses membuat keputusan dilaksanakan secara telus dan amanah supaya kredibiliti pihak pengurusan sesebuah organisasi diyakini.
“Jika pihak pengurusan yang mentadbir teguh dengan nilai integriti, maka pegawai bawahan secara tidak langsung akan menjadikan amalan tersebut sebagai teladan kepada budaya kerja sihat serta kondusif dalam penghasilan output berkualiti,” katanya pada Sesi Perbincangan Meja Bulat yang diadakan di pejabat SPRM Kuala Lumpur, kelmarin.
Sesi berkenaan telah dihadiri oleh seramai 15 orang pegawai integriti daripada syarikat-syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) merangkumi Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) [KWAP], Permodalan Nasional Berhad (PNB), Lembaga Tabung Haji (LTH), Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Khazanah Nasional Berhad, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) serta KWEST Sdn. Bhd.
Program yang berlangsung hasil kerjasama dengan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) [KWAP] di Pejabat SPRM Kuala Lumpur ini turut mencerminkan komitmen berterusan GLIC dalam memperkukuh tadbir urus, integriti dan akauntabiliti demi memastikan ketelusan institusi pelaburan negara terus terpelihara.
Antara isu yang diketengahkan ialah keperluan memastikan ketelusan dalam proses membuat keputusan tanpa konflik kepentingan, pematuhan yang konsisten terhadap garis panduan dan polisi organisasi, serta pengurusan risiko rasuah yang berkesan. Faktor-faktor ini dilihat memberi kesan langsung kepada pelaksanaan Anti-Bribery Management Systems (ABMS) di organisasi masing-masing.
Dalam pada itu, beberapa wakil pegawai turut berkongsi amalan terbaik yang dilaksanakan di syarikat masing-masing agar keberkesanan tersebut turut sama dipraktikkan di organisasi GLIC yang lain.
Mohamad Zakkuan berkata, pihaknya menyokong penuh usaha Unit Integriti GLIC dalam mengekang jenayah rasuah daripada terus berleluasa di sektor korporat dan bersedia memberikan kerjasama melalui penganjuran program antirasuah dan integriti, taklimat, latihan serta perkongsian amalan terbaik dalam memastikan risiko rasuah di sektor korporat dapat dikurangkan.
Syarikat korporat turut digalakkan mengambil peluang dengan menganjurkan program anti rasuah dan integriti menerusi Program Potongan Cukai di bawah Subseksyen 34(6)(h) Akta Cukai Pendapatan 1967 yang diperkenalkan Kerajaan sejak 2021 lagi.
Turut hadir Ketua Pejabat Integriti dan Tadbir Urus KWAP, Mohd Nasir Abdul Hadi; Timbalan Pengarah (Pencegahan) SPRM Kuala Lumpur, Noor Azeana Azis dan Ketua Cawangan Pendidikan Masyarakat, SPRM Kuala Lumpur, Zairinhani Zulkifly.
— BERNAMA
