KUALA LUMPUR, 3 Dis (Bernama) -- Selangor FC mengekalkan rekod tanpa kalah pada Kejohanan Kelab Bola Sepak ASEAN (ACC) 2025/2026 selepas terikat 1-1 dengan pasukan Filipina Dynamic Herb Cebu di Stadium Memorial Rizal, Manila hari ini.
Skuad Gergasi Merah memulakan permainan pada babak pertama dengan positif dan menguasai perlawanan, namun beberapa percubaan mereka gagal menghasilkan gol.
Benteng pertahanan Selangor diuji pada penghujung babak pertama apabila Esrom Paulos melepaskan satu rembatan kencang, namun penjaga gol Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi bertindak cemerlang untuk menyelamatkan gawang daripada dibolosi.
Kalamullah bagaimanapun tewas pada minit ke-47 apabila sepakan penjuru Paulos ditanduk masuk oleh Abou Sy untuk meletakkan pasukan tuan rumah di hadapan.
Selangor kemudiannya menyamakan kedudukan menerusi penyerang Willian Lira, yang menolak masuk hantaran lintang Picha Autra untuk menewaskan penjaga gol pasukan lawan Rami Jeridi.
Kedua-dua pasukan mencipta lebih banyak peluang selepas itu, namun tiada tambahan gol berjaya dihasilkan, sekali gus menyaksikan perlawanan berkesudahan seri 1-1.
Dengan keputusan itu, Selangor mengumpul lima mata daripada satu kemenangan dan dua seri manakala Dynamic Herb Cebu mengutip mata pertama mereka dalam saingan ini.
-- BERNAMA
