BOAO (Hainan, China), 4 Dis (Bernama-Xinhua) -- Presiden Agensi Berita Xinhua, Fu Hua pada Rabu mengadakan pertemuan berasingan dengan ketua-ketua organisasi media dari pelbagai negara yang berada di China sempena Mesyuarat Lembaga Eksekutif ke-57 Pertubuhan Agensi-Agensi Berita Asia Pasifik (OANA).
Antara eksekutif media yang hadir ialah Andrey Kondrashov, Ketua Pengarah agensi berita TASS dari Rusia, Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin, serta Ketua Pengarah Agensi Berita Vietnam (VNA) Vu Viet Trang.
Fu menerusi ucapan alu-aluan menekankan hubungan kerjasama jangka panjang antara Xinhua dan organisasi media berkenaan, selain menggariskan visi untuk memperkukuhkan lagi kerjasama media, termasuk mencadangkan usaha bersama dalam mengetengahkan kisah kerjasama dan pembangunan, mempertingkat pertukaran kepakaran dan profesional, memperluas kerjasama dalam teknologi media baharu serta memperkukuh penyelarasan dalam kerangka pelbagai hala, lapor Xinhua.
Beliau turut menjemput semua pihak menghadiri Sidang Kemuncak Media Dunia ketujuh yang akan diadakan di Beijing tahun depan.
Kondrashov berkata kerjasama strategik antara TASS dan Xinhua terus diperkukuh dengan pencapaian ketara dalam bidang komunikasi dan pertukaran maklumat antarabangsa.
Beliau berharap penganjuran Forum Media China-Rusia keenam di Beijing nanti berjalan dengan jayanya.
Nur-ul Afida pula berkata Xinhua mempunyai pengalaman media yang luas dan berharap dapat menerima sokongan latihan berkaitan pada masa hadapan, selain berhasrat memperdalam kerjasama dalam siaran berita video.
Beliau juga mengalu-alukan kehadiran wartawan Xinhua ke Malaysia bagi membuat liputan kempen “Tahun Melawat Malaysia 2026”.
Trang pula menyatakan bahawa VNA dan Xinhua merupakan rakan penting dengan kedua-dua pihak sentiasa bertukar pelbagai jenis berita.
Beliau turut berharap kerjasama dapat diperkukuh khususnya dalam bidang transformasi digital, serta menyatakan VNA sedia menghantar petugas teknikal ke Xinhua untuk mempelajari kepakaran baharu.
Dalam pertemuan terbabit, Fu dan Nur-ul Afida turut bertukar memorandum persefahaman mengenai kerjasama komunikasi maklumat yang dimeterai kedua-dua pihak.
Kedua-dua pihak bersetuju untuk memperkukuh kerjasama dalam aspek seperti pertukaran berita dan lawatan, bantuan kewartawanan serta komunikasi bersama bagi menyokong pembinaan komuniti berkongsi masa depan China-Malaysia.
-- BERNAMA-XINHUA
