AM

32,000 PEKERJA NIKMATI KENAIKAN GAJI SEHINGGA 16 PERATUS DI BAWAH DASAR GAJI PROGRESIF - SIM

04/12/2025 02:46 PM

KUALA LUMPUR, 4 Dis (Bernama) -- Setakat November lepas, sebanyak 32,000 pekerja telah menikmati kenaikan gaji sehingga 16 peratus melalui inisiatif Dasar Gaji Progresif (DGP), kata Menteri Sumber Manusia Steven Sim.

Beliau berkata jumlah itu membabitkan kira-kira 3,000 majikan yang melaksanakan DGP sejak program rintisnya diperkenal pada Jun 2024, dengan keseluruhan insentif berjumlah RM34 juta telah disalurkan.

“Semua pekerja ini telah mendapat kenaikan gaji, dan mereka juga perlu memenuhi syarat minimum latihan 21 jam setahun atau melalui Pengiktirafan Pencapaian Terdahulu sebagai antara syarat melayakkan pembayaran insentif,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Sim menjawab soalan Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail (PN-Kubang Pasu) mengenai kemajuan dan kejayaan DGP setakat ini.

Beliau berkata DGP berjaya menaikkan gaji median pekerja peringkat permulaan sehingga RM300 iaitu 16 peratus kepada RM2,200 berbanding RM1,900 sebelum ini manakala mereka yang sudah berkhidmat lebih 12 bulan menikmati peningkatan gaji minimum sehingga 13 peratus atau RM290 kepada RM2,490 berbanding RM2,200.

Sim berkata setakat November juga, hampir 6,000 majikan telah membuka akaun dalam sistem Gaji Progresif dan daripada jumlah itu, hampir 4,000 mengemukakan permohonan untuk menyertai inisiatif DGP.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata bilangan pesakit maksimum yang boleh diterima di keseluruhan Pusat Rehabilitasi Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) ialah 1,630 orang merangkumi 800 di Perak diikuti 500 di Melaka dan 330 di Terengganu.

Sim berkata bagi pusat rehabilitasi di Meru, Perak yang mula beroperasi secara berperingkat pada 22 Julai lepas, sebanyak 232 pesakit telah menerima rawatan di pusat berkenaan.

Beliau berkata menjelang pengoperasian penuh pusat itu mulai tahun depan, PERKESO telah bersedia untuk memastikan perkhidmatan rawatan rehabilitasi mampu menampung permintaan golongan pekerja terutama selepas Skim Lindung 24/7 diluluskan di Dewan Rakyat baru-baru ini.

Sim menjawab soalan Lee Chuan How (PH-Ipoh Timor) mengenai status pengoperasian Pusat Rehabilitasi PERKESO di Meru, Perak dan perancangan PERKESO bagi memastikan perkhidmatan rehabilitasi itu dapat menampung permintaan pekerja setelah perlaksanaan Skim Lindung 24/7 PERKESO.

Sebelum ini, Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang Keselamatan Sosial Pekerja (Pindaan) 2025 antara lain bertujuan memperkenal Skim Lindung 24/7 iaitu perlindungan menyeluruh kepada pekerja pada setiap masa termasuk di luar waktu bekerja, yang bakal memanfaatkan hampir 10 juta pekerja formal di seluruh negara.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan