AM

KKDW LIPAT GANDA PEMBANGUNAN INSAN, USAHAWAN LUAR BANDAR TAHUN HADAPAN - TPM AHMAD ZAHID

04/12/2025 01:35 PM

PUTRAJAYA, 4 Dis (Bernama) -- Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) akan melipatgandakan usaha pembangunan pada tahun hadapan dengan memberi tumpuan kepada dua aspek utama iaitu pembangunan insan dan pengukuhan keusahawanan luar bandar, khususnya melalui inisiatif teknousahawan.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata tumpuan itu bukan sahaja bertujuan meningkatkan kualiti produk luar bandar, tetapi juga memastikan produk berkenaan menembusi pasaran antarabangsa.

"Melalui MIHAS@Shanghai, kita mencatat rekod baharu lebih RM3.2 bilion transaksi, membuktikan produk desa Malaysia berjaya menembusi pasaran antarabangsa," katanya kepada media selepas majlis perhimpunan bulanan KKDW di sini hari ini.

Dalam aspek pembangunan insan, Ahmad Zahid berkata hampir 300 institusi Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) di bawah Majlis Amanah Rakyat (MARA) kini mencapai kadar kebolehpasaran graduan sebanyak 98.7 peratus, dan kementerian menyasarkan peningkatan kepada 99 peratus pada tahun hadapan.

Beliau turut menegaskan pencapaian anak-anak orang Asli yang berjaya melanjutkan pelajaran ke universiti meningkat ketara tahun ini, dan usaha itu akan terus dipertingkat tahun hadapan melalui perancangan rapi yang akan dibentangkan dalam pemukiman KKDW pada Mac nanti.

"Oleh kerana kita mengadakan pemukiman dua kali setahun, prestasi yang dicapai adalah berdasarkan perancangan. Saya memantau secara teliti ('micromanage') terhadap projek-projek yang telah ditetapkan. Misalnya, dari segi 'game changer' (pencetus perubahan penting), tahun ini kita melaksanakan 42 projek dan 95 peratus daripadanya telah tercapai.

"Tahun hadapan kita akan menentukan bilangan 'game changer' yang akan diperluaskan kepada masyarakat, dan Insya-Allah saya akan bersama pengurusan tertinggi serta pegawai sokongan bagi memastikan kejayaan KKDW," katanya.

Ahmad Zahid berkata tahun hadapan bakal menjadi fasa baharu bagi KKDW dalam memperkukuh budaya kerja yang lebih bernilai, responsif dan berimpak tinggi, selaras dengan tanggungjawab sosial dan korporat kementerian kepada rakyat luar bandar.

Justeru, beliau berkata warga KKDW mesti memahami dua bentuk tanggungjawab utama yang menjadi nadi organisasi, iaitu tanggungjawab sosial untuk memastikan rakyat benar-benar merasai hasil kerja kerajaan

Manakala tanggungjawab korporat pula bagi memastikan agensi seperti MARA, RISDA, FELCRA, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dan Lembaga Kemajuan Wilayah (LKW) beroperasi secara telus dan mencapai sasaran strategik masing-masing.

"Fokus perlu diselaras, mesti mencapai keuntungan, melaksanakan mandat penubuhan, memastikan operasi telus dan mencapai sasaran strategik yang telah ditetapkan," katanya.

Ahmad Zahid menekankan bahawa bagi menghadapi cabaran, KKDW perlu mengamalkan tiga budaya kerja baharu sebagai tulang belakang penyampaian perkhidmatan, iaitu tindak balas pantas untuk mencegah masalah sebelum menjadi krisis, bergerak sebagai satu sistem, pasukan dan tujuan, serta penyampaian cemerlang supaya hasilnya dapat dirasai rakyat.

"Pada pemukiman kita (KKDW) awal tahun nanti dan Pelan Strategik KKDW 2026–2030 yang akan saya lancarkan, saya mahu segala yang saya tekankan hari ini benar-benar diterapkan dalam tindakan," katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan