CYBERJAYA, 4 Dis (Bernama) -- Semua agensi kerajaan diarah menjalinkan kerjasama pintar dengan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) bagi memperkasakan pendidikan literasi kewangan dalam kalangan penjawat awam.
Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata langkah itu diambil bagi menangani masalah penjawat awam yang terjerat dengan beban hutang dan terdedah kepada penipuan berbentuk pelaburan.
“Kita akan buat kerjasama pintar... saya dah minta semua agensi buat,” katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai isu penjawat awam yang terbeban dengan hutang kad kredit dan terjebak dalam penipuan termasuk pelaburan yang tidak wujud.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan bagi menyantuni pengguna tren transit aliran massa (MRT) dengan menaiki tren dari stesen Cyberjaya City Centre Limkokwing ke Putrajaya Sentral hari ini.
Shamsul Azri, yang juga Pengerusi Lembaga Tatatertib, berkata beliau turut mengarahkan Ketua Pengarah Pendidikan Dr Mohd Azam Ahmad supaya mewajibkan pelaksanaan program pengurusan kewangan bersama AKPK di setiap sekolah seluruh negara.
“Antara isu paling banyak melibatkan penjawat awam adalah keberhutangan melampau... kebanyakannya melibatkan guru...kebanyakan penjawat awam ingat apabila mereka pinjam dan melabur, mereka akan dapat pulangan sedangkan semua pelaburan ada risiko,” katanya.
Beliau berkata antara faktor yang menjadi punca kepada isu itu ialah kurang kefahaman terhadap risiko pelaburan, kesempitan hidup dan tekanan untuk memenuhi kehendak pasangan.
Sebelum ini, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz mengingatkan ketua jabatan kerajaan Persekutuan dan negeri supaya memberi perhatian terhadap tahap hutang pegawai di bawah seliaan masing-masing bagi mengelakkan penjawat awam terjerumus dalam masalah keterhutangan tinggi melebihi kemampuan bayaran balik.
Peringatan itu susulan kebimbangan kerajaan terhadap keadaan hutang yang boleh menjejaskan tumpuan penjawat awam terhadap tugas.
Shamsul Azri juga sebelum ini berkata penjawat awam boleh dikenakan tindakan tatatertib sekiranya didapati berdepan hutang sehingga 10 kali ganda gaji bulanan selaras Subperaturan 13(7) Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.
-- BERNAMA
