PORT DICKSON, 4 Dis (Bernama) -- Malaysia menunggu maklumat terperinci daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), dijangka pada Jun depan mengenai hala tuju misi Pasukan Pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) dan sama ada wujud pasukan interim lain untuk menggantikannya.
Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar berkata pengunduran lebih 10,000 anggota pengaman dari Lubnan akan mewujudkan kekosongan di kawasan selatan negara itu, yang memerlukan Angkatan Tentera Lubnan (LAF) memenuhi kekosongan berkenaan.
“Pasukan Batalion Malaysia (MALBATT) 850-13 yang berkekuatan 532 individu adalah kelompok terakhir menyertai misi pengaman itu sejak UNIFIL diumumkan untuk berundur dari Lubnan.
“Perkara ini juga dimaklumkan kepada PBB kemungkinan menimbulkan masalah dan mereka akan memaklumkan rancangan terperinci pada Jun nanti,” katanya pada majlis Penganugerahan Pingat Perkhidmatan Negara Bangsa-Bangsa Bersatu (PNBB) kepada MALBATT 850-12 membabitkan 852 anggota terdiri daripada 82 pegawai dan 770 anggota lain-lain pangkat di sini hari ini.
Dalam pada itu, Mohd Nizam berkata anggota MALBAT 850-13 bertanggungjawab melatih anggota LAF sebagai persediaan sebelum kawasan operasi diserahkan sepenuhnya kepada pasukan berkenaan selain sebahagian capital items turut ditinggalkan bagi membantu keupayaan mereka.
Beliau berkata anggota MALBATT juga akan mengosongkan Kem Tibnin dan Harris, dan akan dipusatkan ke Kem Marakah sebelum kawasan itu diserahkan sepenuhnya kepada LAF.
“Berkaitan aset, kami akan teliti apa yang wajar ditinggalkan memandangkan banyak briged yang baharu ditubuhkan di kawasan itu dan kami akan melatih mereka untuk berinteraksi antara dua kekuatan dan peralatan yang mungkin tinggalkan,” katanya.
Mengenai pengunduran penuh Malaysia untuk misi itu, beliau berkata proses itu dijangka pada Disember tahun depan namun kemungkinan ada kumpulan kecil yang akan kekal untuk menguruskan baki peralatan dan perkara berkaitan.
“Ini akan menjadi satu pergerakan besar memandangkan kita telah berada di sana sejak 2007,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan MALBATT 850-13 menjadi kontinjen terakhir Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang menyertai misi UNIFIL selepas pembabitan sejak 2007.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata pihaknya bersiap sedia untuk diatur gerak ke Gaza sekiranya diperlukan dan sedang menunggu pemakluman daripada PBB.
“Setakat ini, secara bukan bertulis, dimaklumkan misi itu akan diteruskan tetapi kami belum menerima apa-apa lagi sehingga kini. Bagaimanapun, kami telah menyediakan pilihan satu dan dua untuk bentuk tugas yang akan diaturgerakkan ke Gaza nanti termasuklah logistik, kejuruteraan dan perubatan,” katanya
-- BERNAMA
