KUALA LUMPUR, 4 Dis (Bernama) -- Banjir di Perlis semakin pulih dengan jumlah mangsa masih berlindung di dua pusat pemindahan sementara (PPS) di Padang Besar dan Arau setakat 4 petang ini menurun kepada 186 orang berbanding 207 orang pagi tadi.
Di PERAK pula, jumlah mangsa banjir juga mencatatkan penurunan kepada 2,206 orang daripada 671 keluarga yang masih berlindung di 16 PPS di empat daerah petang ini, berbanding 2,690 orang daripada 783 keluarga pagi tadi.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Perak memaklumkan daerah Hilir Perak masih merekodkan jumlah mangsa tertinggi iaitu seramai 1,201 orang, manakala Bagan Datuk (600 orang), Manjung (392 orang) serta Larut, Matang dan Selama pula seramai 13 orang.
Di PAHANG, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 62 orang daripada 15 keluarga berbanding 28 orang daripada enam keluarga, pagi tadi.
Menurut InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), daerah Raub kembali dilanda banjir dan seramai 34 mangsa telah dipindahkan ke dua PPS manakala seramai 21 mangsa di Maran dan tujuh di Kuantan, masing-masing masih berlindung di satu PPS.
Sementara itu, di SELANGOR, jumlah mangsa yang ditempatkan di PPS kembali meningkat kepada 764 mangsa daripada 246 keluarga petang ini susulan hujan lebat awal pagi tadi di beberapa kawasan berbanding 699 orang daripada 215 keluarga, pagi tadi.
Menurut laman sesawang Infobencana JKM, jumlah PPS yang beroperasi kembali menjadi sembilan petang ini, berbanding tujuh pagi tadi dengan Hulu Langat menjadi daerah baharu dilanda banjir selain Kuala Selangor dan Sabak Bernam.
-- BERNAMA
