PUTRAJAYA, 4 Dis (Bernama) -- Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) hari ini menerima pelantikan tiga Timbalan Naib Canselor baharu bagi tempoh dua tahun berkuat kuasa semalam (3 Dis).
Mereka adalah Prof Dr Ismanizan Ismail yang dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Penyelidikan dan Inovasi; Prof Ts Dr Norinsan Kamil Othman sebagai Timbalan Naib Canselor Hal-Ehwal Pelajar dan Alumni; dan Prof Dr Bariah Mohd Ali sebagai Timbalan Naib Canselor Hal-Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat.
Naib Canselor UKM Prof Dr Sufian Jusoh berkata pengalaman dan reputasi cemerlang yang dimiliki ketiga-tiga Timbalan Naib Canselor berkenaan diyakini mampu memperkukuh peranan UKM sebagai peneraju pendidikan tinggi seterusnya menyumbang kepada pembangunan negara.
“Seluruh warga UKM mengucapkan tahniah atas pelantikan ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
UKM dalam kenyataan sama memaklumkan Prof Dr Ismanizan sebelum ini memegang jawatan Pengarah Pusat PERMATA@Pintar Negara, Pengarah Institut Biologi Sistem (INBIOSIS) dan Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Instrumentasi (CRIM).
“Beliau merupakan lulusan Doktor Falsafah dari University of Edinburgh, United Kingdom dan pakar bioteknologi dalam bidang sumber lestari serta alam sekitar dan kehidupan pintar,” menurut kenyataan itu.
UKM memaklumkan Prof Dr Norinsan pula berkelulusan Doktor Falsafah dalam bidang Sains Kakisan dan Kejuruteraan dari University of New South Wales, Australia.
“Sebelum ini beliau merupakan Pengarah Pusat Hal Ehwal Pelajar UKM dan menjalankan fungsi sebagai Timbalan Naib Canselor Hal-Ehwal Pelajar dan Alumni sejak April lepas.
“Prof Dr Bariah ialah pakar optometris kanta lekap yang berkelulusan Doktor Falsafah dari University of New South Wales, Australia. Sebelum ini, beliau merupakan Ahli Lembaga Pengarah UKM dan pernah memegang jawatan Dekan Fakulti Sains Kesihatan,” menurut UKM.
-- BERNAMA
