JENAYAH & MAHKAMAH

KASTAM KELANTAN RAMPAS ROKOK SELUDUP BERNILAI LEBIH RM300,000

04/12/2025 06:03 PM

KOTA BHARU, 4 Dis (Bernama) -- Jabatan Kastam Kelantan menahan 10 individu dan merampas pelbagai jenis rokok seludup bernilai keseluruhan RM315,708 dalam Operasi Loging yang dijalankan di beberapa kawasan di negeri ini.

Pengarahnya Wan Jamal Abdul Salam Wan Long berkata operasi oleh Pasukan Operasi Cawangan Penguatkuasaan negeri itu dilaksanakan dari 10 hingga 13 Nov lepas melibatkan 16 lokasi berasingan.

“Hasil pemeriksaan, kami merampas rokok seludup bernilai RM73,062.36 dengan anggaran duti dan cukai sebanyak RM242,646.39, menjadikan jumlah keseluruhan rampasan RM315,708.75,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata sindiket menyembunyikan rokok berkenaan di belakang kaunter, ruang simpanan tersembunyi serta rumah terbiar sebelum dijual dan diedarkan kepada pelanggan.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967. Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda antara 10 hingga 20 kali ganda nilai barang atau antara RM100,000 hingga RM500,000, serta boleh dipenjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama,” katanya.

Wan Jamal turut menyeru orang ramai agar membantu memerangi penyeludupan termasuk rokok, minuman keras, mercun, dadah dan kenderaan kerana kegiatan itu bukan sahaja menyebabkan ketirisan hasil negara, malah mengancam keselamatan dan kesejahteraan rakyat.

“Maklumat berkaitan penyeludupan boleh disalurkan melalui Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau pejabat kastam terdekat. Identiti pemberi maklumat dijamin dirahsiakan,” katanya.

-- BERNAMA



 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan