AM

KAD PENDAFTARAN PERSONEL BINAAN BAHARU CIDB TINGKAT PENGURUSAN TENAGA KERJA, GAJI

04/12/2025 08:08 PM

KUALA LUMPUR, 4 Dis (Bernama) -- Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) hari ini melancarkan Kad Pendaftaran Personel Binaan baharu sebagai platform digital bersepadu yang menggabungkan pengurusan tenaga kerja dan pembayaran gaji dalam satu sistem menyeluruh.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata inisiatif itu merupakan transformasi ke arah industri pembinaan lebih selamat, telus dan moden serta dapat memberi manfaat langsung kepada lebih 1.1 juta pekerja binaan berdaftar.

Beliau berkata kad itu memberi penyelesaian kukuh dengan rekod kehadiran dan keselamatan pekerja disahkan secara digital iaitu sistem CIMS CIDB, sekali gus mengurangkan isu pekerja tidak mempunyai dokumen, meningkatkan penguatkuasaan dan memperkukuh tadbir urus tapak pembinaan.

“Selama ini kita bermasalah dengan rekod yang mungkin tidak berapa tepat. Dengan kad ini, lebih mudah (kerana) kita dapat mengesan pekerja tempatan atau pekerja asing, keberadaan serta masa mereka masuk dan keluar. Ini penting dalam situasi kecemasan, pemeriksaan atau insiden keselamatan.

“Saya lihat ini satu langkah yang baik dan perlu kita lakukan untuk penambahbaikan kad sedia ada,” katanya pada sidang media selepas melancarkan kad itu di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Eksekutif CIDB Zainora Zainal.

Nanta berkata kad itu juga membolehkan pekerja mempunyai akses kepada ekosistem digital seperti fungsi eWallet, pemindahan wang domestik dan antarabangsa, pembayaran bil, tambah nilai mudah alih, ciri ganjaran dan sistem kehadiran digital di tapak binaan. 

Selain itu, Nanta berkata satu lagi ciri utama kad tersebut ialah sistem e-Wages yang dapat memastikan pembayaran gaji pekerja dilakukan secara adil, telus dan boleh dijejaki serta mudah digunakan majikan.

“Sehingga kini, CIDB telah mendaftarkan sebanyak 1,168,104 personel pembinaan terdiri daripada 457,522 pekerja asing dan 710,582 pekerja tempatan. Kesemua personel berdaftar ini memiliki kad pengenalan khas,” katanya.

Sementara itu, Zainora berkata setakat ini, penggunaan kad pendaftaran baharu itu secara sukarela dan beliau berharap lebih ramai majikan mengiktiraf nilai tambah ditawarkan kad tersebut. 

“Pendaftaran wajib yang perlu dilakukan ialah dalam sistem CIMS CIDB, namun ada kalanya syarikat memerlukannya dalam bentuk fizikal. 

“Disebabkan itu kita memperkenalkan kad hijau (kad personel binaan CIDB) dan kini kita mempertingkatkan (penggunaannya) untuk kehadiran di tapak dan eWallet yang menjadi nilai tambah,” katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan