AM

PENDEKATAN KOMUNIKASI BERSEPADU PASTIKAN DASAR KERAJAAN DIFAHAMI RAKYAT - PACU

05/12/2025 03:06 PM

Oleh Samantha Tan Chiew Tieng

PUTRAJAYA, 5 Dis (Bernama) – Pendekatan komunikasi total atau bersepadu dikenal pasti sebagai pemboleh daya utama dalam pelaksanaan Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam (ARPA) bagi memastikan mesej dasar dan inisiatif kerajaan dapat disampaikan dengan lebih berkesan kepada rakyat, terutama di tengah cabaran komunikasi era digital masa kini.

Pengarah Eksekutif Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU), Pejabat Perdana Menteri Ahmad Jefry Aziz @ Adan berkata, dalam suasana maklumat tersebar pantas di pelbagai platform media sosial, cabaran utama adalah memastikan maklumat sebenar tidak disalah tafsir oleh masyarakat.

“Banyak inisiatif dan program telah dilaksanakan kerajaan dan memberi kesan langsung kepada rakyat. Contohnya, Sumbangan Asas Rahmah (SARA), elaun bantuan persekolahan, dan program Sejahtera Komuniti MADANI (SejaTi MADANI) yang menyalurkan geran RM100,000 kepada penduduk kampung atau persatuan penduduk untuk melaksanakan aktiviti sosioekonomi tanpa perlu membayar balik,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam temu bual bersama Bernama bersempena Program Rancakkan MADANI Bersama Malaysiaku dan Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam 2025, yang berlangsung selama tiga hari bermula hari ini di Dataran Putrajaya.

Ahmad Jefry menekankan kejayaan program SejaTi MADANI yang jarang diketengahkan tetapi memberi manfaat kepada komuniti, antaranya di Perak di mana penduduk membeli dron untuk membaja sawah, menanam cili, malah ada yang menternak udang bagi meningkatkan ekonomi setempat.

Selain itu, beliau berkata Program Santuni MADANI, yang turun ke peringkat akar umbi di kampung-kampung untuk menilai kekurangan infrastruktur, dan Sekolah Angkat MADANI yang menggunakan konsep serupa, telah mendapat sokongan padu daripada syarikat swasta dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

“Banyak inisiatif kerajaan setakat ini. Contohnya, pemberian SARA RM100, perlindungan untuk pekerja gig yang memerlukan caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), namun komunikasi mengenai perkara ini kadangkala terganggu sehingga nampak seolah-olah membebankan rakyat.

“Sebenarnya, bukan semua perkara itu membebankan, tetapi bertujuan memastikan keselamatan dan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Beliau mengakui antara cabaran utama ketika ini ialah memastikan komunikasi kementerian dan agensi kerajaan sampai kepada rakyat dengan tepat dan pantas, khususnya dalam menghadapi penyebaran maklumat mengelirukan di media sosial yang boleh menjejaskan persepsi masyarakat terhadap fakta sebenar.

Oleh itu, beliau berpendapat rentak komunikasi tidak boleh diperlahankan sebaliknya perlu diperkukuh dengan penyampaian maklumat yang konsisten dan berfakta.

“Kita tidak boleh memperlahankan komunikasi. Kita mesti terus aktif berkomunikasi secara konsisten supaya rakyat menerima maklumat benar secara berulang. Apabila rakyat mendengar fakta sebenar berulang kali, mereka akhirnya mengetahui kebenaran berbanding berita palsu di luar sana,” katanya.

Program Rancakkan MADANI dijangka menarik lebih 300,000 pengunjung, sekali gus menjadi program komunikasi rakyat terbesar anjuran PACU.

Program tiga hari itu turut menjadi platform untuk mempromosi dan menyebar luas ARPA selepas pembaharuan digerakkan oleh Kerajaan MADANI, sekali gus memperkukuh mutu penyampaian perkhidmatan awam.

Serentak dengan program itu diadakan Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam 2025 yang melibatkan pemikir dasar dalam kalangan penjawat awam dan pemain industri.

Program yang mendapat kerjasama Jabatan Perkhidmatan Awam dan Perbadanan Produktiviti Malaysia merangkumi lapan sektor utama, termasuk Ukhuwah MADANI, program belia MADANI, agenda reformasi perkhidmatan awam, segmen ASEAN serta kejayaan Malaysia di peringkat antarabangsa.

-- BERNAMA 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan