JENAYAH & MAHKAMAH

18 WARGA JEPUN, CHINA DIDAKWA PAKAT JALANKAN PENIPUAN DALAM TALIAN

05/12/2025 03:56 PM

BUKIT MERTAJAM, 5 Dis (Bernama) -- Sebanyak 18 warga Jepun dan China termasuk seorang wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan berpakat melakukan penipuan dalam talian, bulan lepas.

Pengakuan mereka direkodkan selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Inggeris dan Mandarin di hadapan Majistret Roshayati Radellah. 

Mereka ialah Chen Zigui, 30; Liang Chengfu, 37; Hama Takuya, 35; Tustsui Shoichi, 42; Kono Kiyoshi, 51; Yamao Yuta, 27; Kishi Kosuke, 26; Ryo Nomita, 34; Chen Yien, 34; Ohak Koki, 35; Motokawa Yuya, 30; Takumi Nakano, 26; Matsumoto Satoshi, 44; Inanobe Yuya, 24; Lin Ping, 42; Hashimoto Takuya, 34; Minamihata Naoto, 37; dan Yuina Miki, 25. 

Kesemua mereka didakwa melakukan pakatan jahat jenayah menjalankan aktiviti penipuan dalam talian di Taman Bukit Juru, Seberang Perai Tengah antara 12 hingga 12.10 tengah hari 20 Nov.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 120B(2) kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara antara satu hingga 10 tahun serta boleh dikenakan sebat dan denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Zulfadzli Hassan menawarkan jaminan RM10,000 seorang dengan penjamin warga tempatan manakala peguam Mahesh Ananthan yang mewakili semua tertuduh merayu jaminan lebih rendah kerana mereka menyara keluarga di negara asal dan memberi kerjasama kepada polis.

Mahkamah menetapkan jaminan RM8,000 setiap seorang dengan seorang penjamin warga tempatan dan mengarahkan pasport diserahkan kepada mahkamah serta menetapkan 3 Feb 2026 bagi sebutan semula kes.

Pada 20 Nov, polis menahan 18 warga asing termasuk seorang wanita selepas menggempur dua banglo di kawasan Simpang Ampat, Batu Kawan yang dijadikan sebagai lokasi sindiket penipuan menerusi panggilan telefon dengan menyamar polis dari Jepun. 

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan