AM

SPRM KL, DBKL BEKERJASAMA PAPAR MESEJ ANTIRASUAH DI PAPAN IKLAN DIGITAL

05/12/2025 05:08 PM

 

KUALA LUMPUR, 5 Dis (Bernama) – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kuala Lumpur dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) terus memperkukuh usaha kesedaran masyarakat melalui hebahan mesej antirasuah dan dasar perlindungan pemberi maklumat (whistleblower), yang kini dipaparkan secara strategik di papan iklan digital di Dataran Merdeka.

 

Pengarah SPRM Kuala Lumpur, Mohamad Zakkuan Talib berkata, melalui iklan berkenaan, masyarakat memikul tanggungjawab untuk melaporkan sebarang perlakuan rasuah yang dikesan, selaras dengan komitmen negara untuk mencapai kedudukan ke 25 dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) menjelang 2033. 

 

Beliau berkata, melalui paparan ini, orang ramai boleh membuat aduan rasuah kepada SPRM pada bila-bila masa manakala pemberi maklumat pula dilindungi di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (Whistleblower Protection Act 2010), tertakluk kepada syarat-syarat yang ditetapkan.

 

“Tindakan melapor bukan sahaja membantu menghentikan perbuatan rasuah daripada terus berleluasa, malah mencerminkan keberanian dan integriti masyarakat selaras dengan inisiatif “Keep Malaysia Clean” ke arah menjadikan Malaysia bebas rasuah,” katanya. 

 

Beliau berkata, sebagai permulaan sebuah paparan iklan digital yang terletak berhampiran Dataran Merdeka telah mula memaparkan mesej penting ini yang dapat disampaikan secara berkesan kepada komuniti bandar, khususnya warga Kuala Lumpur yang melalui kawasan tumpuan tersebut setiap hari.

 

Katanya, SPRM Kuala Lumpur ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada mantan Datuk Bandar Kuala Lumpur serta Datuk Bandar Kuala Lumpur yang baharu atas komitmen dan sokongan tidak berbelah bahagi terhadap usaha memperkasakan agenda antirasuah. 

 

“Usaha bersama ini melambangkan kerjasama strategik antara pihak berkuasa tempatan dalam memastikan mesej integriti dapat disampaikan secara lebih meluas dan berimpak tinggi kepada masyarakat,” katanya.

— BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan