KUALA LUMPUR, 5 Dis (Bernama) -- Peluncuran buku terbaharu karya Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bertajuk Rethinking Ourselves: Justice, Reform, and Ignorance in Postnormal Times akan berlangsung pada Ahad ini, di Tsutaya Books, Pavilion Bukit Jalil.
Perkara itu dimaklumkan oleh Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri Tunku Nashrul Abaidah dalam Taklimat Pejabat Perdana Menteri yang disiarkan secara langsung di Facebook Anwar Ibrahim, hari ini.
Tunku Nashrul berkata buku berkenaan menampilkan renungan dan cetusan Perdana Menteri mengenai keadilan, reformasi dan cabaran dunia pascanormal, iaitu suatu era perubahan pantas yang menuntut keberanian untuk menilai semula cara individu memahami diri, masyarakat dan masa depan bersama.
“Nukilan terkini Yang Amat Berhormat Perdana Menteri ini mengetengahkan kupasan mendalam terhadap pelbagai persoalan besar di zaman ini, daripada pascakolonialisme dan Islamofobia sehinggalah kepada demokrasi serta pembentukan tatadunia,” katanya.
Beliau turut mengalu-alukan orang awam yang berminat untuk menghadiri majlis peluncuran itu.
-- BERNAMA
