AM

LAWATAN RAJA MUDA SELANGOR KE BEIJING FOKUS PERKASA BELIA, TEKNOLOGI

05/12/2025 08:20 PM

SHAH ALAM, 5 Dis (Bernama) -- Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan mengadakan siri lawatan teknikal ke Beijing, China bermula 30 Nov hingga 3 Dis lepas, dengan fokus memperkasakan peranan belia dan teknologi.

Menurut kenyataan dikeluarkan Pejabat Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Selangor Ng Sze Han hari ini, keberangkatan baginda turut diiringi isteri baginda, Datin Paduka Seri Afzaa Fadini Abdul Aziz. 

“Lawatan strategik itu bertujuan memperkukuh hubungan dua hala dengan menumpukan kepada pertukaran belia serta pemadanan industri teknologi tinggi,” menurut kenyataan itu.

Delegasi yang turut disertai Ng itu memulakan lawatan di Beijing Normal University bagi menghadiri Program Rangkaian Pendidikan Keusahawanan Asia Tenggara kelolaan UNESCO INRULED.

Dalam titah ucapan pada program itu, Raja Muda Selangor menekankan bahawa pendidikan moden tidak seharusnya terhad kepada pemindahan ilmu semata-mata.  

Tengku Amir Shah bertitah bahawa pendidikan perlu memupuk minda keusahawanan dan corak pemikiran itu akan memperkasakan golongan muda dengan keupayaan untuk menukar cabaran masyarakat kepada peluang inovasi yang baharu.

Pada majlis santapan malam bersama pelajar Malaysia yang menetap di Beijing, Raja Muda Selangor berkongsi pengalaman peribadi baginda menjalani latihan ketenteraan dan menggunakan istilah ‘resilience’ (ketahanan) sebagai nasihat utama kepada perantau ilmu. 

“Ketahanan bukan tentang siapa yang paling kuat, tetapi tentang kemampuan untuk terus melangkah ke hadapan walaupun setiap langkah terasa lebih berat daripada sebelumnya,” titah baginda.

Di samping itu, baginda menyeru mahasiswa agar pulang ke tanah air dengan keyakinan dan pemikiran baharu, serta memimpin masa hadapan negara berteraskan integriti.

Delegasi turut mengadakan lawatan korporat ke beberapa syarikat gergasi yang mempunyai hubungan strategik dengan Selangor seperti Ibu Pejabat Alibaba, Bridge Data Centres, dan China Harbour Engineering Company.

Dalam pada itu, Ng dalam kenyataan sama berkata kerajaan Selangor kini dalam usaha untuk beralih pendekatan daripada sekadar mencegah brain drain (perhijrahan cendekiawan) kepada menggalakkan brain circulation.

"Kami melihat pakar dan bakat di luar negara sebagai super-connectors. Sama ada anda berada di Beijing mahupun di Silicon Valley, anda adalah jambatan yang menghubungkan Selangor dengan dunia," kata Ng.  

-- BERNAMA

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan