LENGGONG, 5 Dis (Bernama) -- Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) telah membina lebih 7,000 unit Rumah Mesra Rakyat (RMR) di Perak sejak program itu diperkenalkan pada 2002.
Pengerusi SPNB Datuk Prof Dr Mohd Azmi Mohd Lila berkata pihaknya kini menyasarkan pembinaan kira-kira 600 unit rumah setahun di negeri itu.
“Dengan pembinaan RMR, beribu-ribu impian keluarga untuk memiliki kediaman sendiri kini menjadi kenyataan,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan kepada 30 pemohon RMR yang menerima Surat Tawaran Subsidi dan 20 penerima kunci RMR yang disempurnakan Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad.
Turut hadir ialah Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Perak Sandrea Ng Shy Ching dan Timbalan Menteri Dalam Negeri yang juga Ahli Parlimen Lenggong Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah.
Sementara itu, Saarani berkata kerajaan negeri telah memperuntukkan subsidi sebanyak RM20,000 bagi setiap unit rumah yang ditawarkan di bawah program RMR.
Beliau berkata subsidi berkenaan disediakan atas dasar keprihatinan dan usaha berterusan kerajaan MADANI untuk meringankan beban rakyat.
"Selaras dengan aspirasi Perak Sejahtera 2030, kerajaan negeri sentiasa komited memastikan golongan berpendapatan rendah dan sederhana memiliki kediaman yang selesa dan berkualiti," katanya.
-- BERNAMA
