AM

KONVENSYEN ARPA ANTARA TUMPUAN HARI KEDUA PROGRAM RANCAKKAN MADANI

06/12/2025 09:15 AM

PUTRAJAYA, 6 Dis (Bernama) -- Program Rancakkan MADANI Bersama Malaysiaku diteruskan hari ini dengan pengisian lebih padat melibatkan pameran perkhidmatan kerajaan, forum dasar nasional dan aktiviti komuniti yang dijangka menarik ribuan pengunjung ke Dataran Putrajaya.

Bermula seawal 9 pagi, tumpuan utama hari ini ialah Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam (ARPA) yang dibuka di Auditorium Tun Azizan Zainul Abidin (TAZA).

Siri forum membincangkan isu memperkemas birokrasi, reformasi perkhidmatan kesihatan dan pendidikan, serta usaha memperkukuh komunikasi kerajaan agar lebih efektif kepada rakyat.

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, merasmikan forum pada 9.30 pagi serta melancarkan Pekeliling ILTIZAM, Indeks Prestasi Perkhidmatan Awam (I-PPA), modul ARPA dan Buku MALAYSIA MERDEKA.

Di reruai pameran, lebih 30 kementerian dan agensi menyediakan perkhidmatan bergerak membolehkan orang ramai membuat semakan bantuan, pendaftaran pekerjaan, pemeriksaan kesihatan dan mendapatkan pelbagai khidmat secara terus.

Pengunjung dihiburkan sepanjang hari melalui persembahan kebudayaan, battle tarannum, nyanyian, acara komuniti serta demonstrasi aset keselamatan dan ketenteraan.

Selain itu, “Pesta Rasa @ Selera Malaysia” memberi ruang kepada pengunjung menikmati sajian tempatan sambil menyokong usahawan makanan.

Dengan jangkaan peningkatan pengunjung hujung minggu ini, orang ramai disarankan menggunakan pengangkutan awam atau bas ulang-alik yang disediakan bagi mengurangkan kesesakan.

Program Rancakkan MADANI berlangsung selama tiga hari bermula semalam dengan lebih 300 perkhidmatan sentuhan rakyat, karnival kerjaya, pameran interaktif, hiburan keluarga serta pelbagai tawaran istimewa.

Program berskala nasional anjuran Pejabat Perdana Menteri melalui Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) menyasarkan kehadiran kira-kira 300,000 pengunjung, dari 9 pagi hingga 10 malam pada Jumaat dan Sabtu, serta 9 pagi hingga 6 petang pada Ahad.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual menyempurnakan Majlis Perasmian Penutupan esok pada 11 pagi.

Program Rancakkan MADANI merupakan kesinambungan kepada Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI (PSBKM) dan Program Dua Tahun Kerajaan MADANI (2TM) yang telah menjadi tradisi pelaporan tahunan Kerajaan MADANI secara terus kepada rakyat.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan