AM

RANCAKKAN MADANI: PERTANDINGAN DRON TARIK MINAT GENERASI MUDA KEPADA STEM, TVET

06/12/2025 04:15 PM

Oleh Muhammad Adil Muzaffar Mohd Fisol

PUTRAJAYA, 6 Dis (Bernama) -- Pertandingan Dron TVET MADANI mencuri tumpuan pengunjung di Program Rancakkan MADANI Bersama Malaysiaku hari ini dengan aksi dan cabaran pengendalian yang penuh keterujaan.

Timbalan Pengarah Operasi Kolej Teknologi Termaju Jabatan Tenaga Manusia (ADTEC JTM) Kampus Kuala Lumpur, Wan Shaiful Hasrizam Wan Muda berkata edisi kali ini menampilkan penyertaan lebih 200 peserta daripada 64 pasukan berbanding 32 pasukan pada penganjuran sebelumnya.

Beliau berkata pertandingan anjuran bersama Majlis TVET Negara (MTVET) itu turut menawarkan hadiah lumayan iaitu RM1,000 bagi johan, RM500 (naib johan), RM300 (tempat ketiga) dan RM250 (tempat keempat), sejajar dengan sambutan menggalakkan daripada sekolah dan agensi yang mengambil bahagian.

“Kita ada dua kategori, sekolah dan terbuka. Agensi kerajaan, Institut Latihan Kemahiran (ILK) dan institut pendidikan tinggi turut dijemput. 

"Untuk kali ini, lebih 30 unit dron disediakan oleh pihak kami dan peserta hanya perlu membawa juruterbang masing-masing,” katanya kepada Bernama.

Wan Shaiful Hasrizam berkata peserta perlu mengemudi dron melalui laluan berhalangan dalam tempoh maksimum tiga minit bagi menentukan pemenang, dan setakat ini kebanyakan peserta mampu menamatkan cabaran sebelum masa ditetapkan.

Beliau berkata pertandingan itu dilihat sebagai usaha memperkasakan minat generasi muda terhadap teknologi baharu selaras dengan agenda Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan inovasi negara.

“Manfaatnya besar, terutama kepada pelajar yang dapat mempraktikkan ilmu sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) dalam situasi sebenar.

"Inilah peluang bagi mereka mengenali TVET lebih dekat dan melihat bagaimana teknologi boleh diaplikasikan secara praktikal,” katanya.

Program Rancakkan MADANI selama tiga hari bermula semalam, menampilkan lebih 300 perkhidmatan sentuhan rakyat, karnival kerjaya, pameran interaktif, hiburan keluarga dan pelbagai tawaran istimewa kepada orang ramai.

Program berskala nasional anjuran Pejabat Perdana Menteri melalui Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) itu menyasarkan kehadiran 300,000 pengunjung dan berlangsung dari 9 pagi hingga 10 malam pada Jumaat dan Sabtu, manakala 9 pagi hingga 6 petang pada Ahad.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan