AM

JASA BUNG MOKTAR DALAM INGATAN PENDUDUK KINABATANGAN

06/12/2025 07:22 PM

KINABATANGAN, 6 Dis (Bernama) -- Jasa Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin sebagai Ahli Parlimen Kinabatangan yang dermawan dan berjiwa besar akan kekal terpahat dalam ingatan penduduk di sini.

Imam Masjid Nurul Hikmah Kampung Bilit, Isde Singling, 52, berkata sifat dermawan Bung Moktar itu tidak tergambar, misalnya banyak sumbangan diberikan kepada pihak masjid dari segi kewangan, kelengkapan ibadah termasuk al-Quran.

"Kerap kali beliau menyumbang ke masjid, kadang-kadang beliau sendiri akan bertanya apa kekurangan dan apa yang diperlukan (masjid) sangat mudah berurusan, dan sebelum ini pihak masjid membuat permohonan untuk mewujudkan bilik mandi jenazah dan peruntukan juga diluluskan.

"Malah, pembinaan Masjid Nurul Hikmah ini juga inisiatif Allahyarham sendiri di samping pembinaan Masjid Rancangan Suan Lamba, beliau seorang pemimpin prihatin yang disayangi penduduk Kinabatangan kerana jasanya dalam pembangunan agama," katanya kepada Bernama.

Secara peribadi Isde dari Kampung Terus Jaya berkata memori yang tidak dapat dilupakan apabila Bung Moktar sendiri menghubungi dan menawarkannya ke tanah suci Makkah bagi menunaikan ibadah haji pada 2015.

"Ketika itu, sebanyak enam imam di Kinabatangan termasuk saya berpeluang menunaikan ibadah haji atas inisiatif Allahyarham," katanya.

Bagi bekas Ketua Kampung Bilit, Salina Tombok, 64, Allahyarham seorang pemimpin yang berjiwa besar kerana banyak pembangunan diusahakan untuk Kampung Bilit seperti pembinaan jalan raya, air, lampu, termasuk pelaksanaan puluhan rumah Program Perumahan Rakyat. 

"Jasa dan sumbangan di Kampung Bilit banyak, di samping pembinaan dewan serba guna yang memanfaatkan penduduk kampung, kami penduduk di sini merasai kehilangan seorang pemimpin yang baik hati serta memahami masalah rakyat, susah kami mahu lupa.

"Allahyarham seorang yang rajin turun padang, masuk kampung, dan antara perkara yang saya tidak lupa beliau akan ziarah kubur orang tuanya di Kampung Bilit sebelum meneruskan program-program rakyat," katanya.

Dalam pada itu, Sahrudin Sujarah, 50, berkata Bung Moktar berjasa besar dalam pembangunan Kinabatangan khususnya Kampung Bilit kerana penduduk asal kampung berkenaan pada mulanya yang mendiami kawasan tepi sungai namun kini tidak lagi.

"Di Kinabatangan ini terutama Kampung Bilit ini alhamdulillah jauh berubah dulu di sini hutan belantara, berlumpur, jalan tiada, susah namun berkat usaha Allahyarham, berubah daripada hutan menjadi pembangunan, dulu penduduk tinggal di tepi-tepi sungai.

"Kepimpinan Allahyarham kepada penduduk Kinabatangan yang sukar dilupakan, kalau contohnya kita jalan dulu, dari pagi kalau ke Tongod petang baru sampai, tapi sekarang Telupid ke Tongod kira-kira sejam," katanya.

Sahrudin berkata orang luar mungkin melihat atau menganggap Bung Moktar sebagai pemimpin yang tidak tahu buat kerja tetapi bagi penduduk daerah sendiri tahu dan merasai pembangunan semasa pada era Allahyarham memimpin Kinabatangan.

"Kalau dahalu dari Kinabatangan ke Sandakan makan masa tiga, empat jam tetapi sekarang boleh sampai sejam lebih, di samping itu Allahyarham seorang yang sangat mementingkan pendidikan dan beliau sedaya upaya membantu memberikan sumbangan pendidikan kepada anak-anak Kinabatangan," katanya. 

Selain itu, rakan sekolah Namrah Tombok, 67, dari Kampung Sukau pula menyifatkan Allahyarham Bung Moktar seorang sahabat yang tegas tetapi baik hati.

"Pada 1973, kami sama-sama sekolah di Goverment Secondary School Cheng Meng di Sandakan, dia kalau marah sekali pun selepas itu dia akan ketawa, dia kalau berjanji mesti dia tepati," katanya.

Bung Moktar, 66, meninggal dunia di sebuah hospital swasta di Kota Kinabalu pada 1.46 pagi, semalam. Allahyarham mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag pada Pilihan Raya Negeri ke-17 pada 29 Nov.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan