KUALA LUMPUR, 6 Dis (Bernama) -- Seorang remaja lelaki yang sebelum ini dilaporkan hilang selepas dihanyutkan arus deras ketika cuba mengambil bola di dalam longkang, di Taman Prima Saujana, Kajang, Khamis lepas, ditemukan lemas, malam ini.
Ketua Polis Daerah Kajang ACP Naazron Abdul Yusof berkata mayat remaja berusia 14 tahun itu dijumpai tersangkut pada konkrit di kawasan kolam takungan air di Taman Prima Saujana pada 8.35 malam.
"Mayat mangsa dibawa ke Hospital Kajang untuk proses bedah siasat," katanya ketika dihubungi Bernama.
Dalam kejadian Khamis lepas, dua beradik lelaki berusia 12 dan 14 tahun dikhuatiri lemas selepas terjatuh dan dihanyutkan arus deras ketika cuba mengambil bola di dalam longkang besar di Lorong 1/3A, Taman Prima Saujana.
Mayat mangsa berusia 12 tahun ditemukan pada 7.47 malam pada hari kejadian di Sungai Merbau, Kampung Sungai Kantan, Kajang kira-kira dua kilometer dari lokasi kejadian dan disahkan meninggal dunia di Hospital Kajang pada 10 malam.
-- BERNAMA
