CHUKAI, 7 Dis (Bernama) -- Seorang lelaki yang hilang selepas terjatuh ketika sedang memeriksa bot miliknya di Jeti Geliga Che Akob dekat Sungai Kemaman di sini pada Jumaat lepas, ditemukan lemas hari ini.
Ketua Polis Daerah Kemaman Supt Mohd Razi Rosli berkata mayat Muhammad Anuar Syurkimie Mahmmod, 31, ditemukan terapung di Sungai Kemaman sejauh 500 meter dari lokasi kejadian pada 9.05 pagi tadi.
"Mayat mangsa ditemukan pasukan penyelamat setelah operasi mencari dan menyelamat (SAR) disambung semula pada 7 pagi.
"Operasi SAR hari ini menggunakan teknik pencarian di permukaan air melibatkan beberapa buah bot pada jarak radius satu kilometer dari tempat kejadian, menghala ke arah Kuala Kemaman," katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau menambah mayat mangsa kemudian dibawa ke pusat kawalan tempat kejadian bagi proses pengecaman ahli keluarga sebelum dibawa ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk bedah siasat.
Dalam kejadian kira-kira 10 malam itu, mangsa dipercayai tergelincir di jeti tersebut ketika berlaku fenomena air pasang besar.
Bagaimanapun pihak bomba hanya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada 2.26 petang semalam.
Sementara itu, ibu mangsa Norihan Mohd Noor, 58, berkata dia reda dengan pemergian anak sulungnya yang selama ini menjadi tulang belakang keluarga selepas kematian suaminya Mahmmod Ali pada 2021.
"Walaupun bekerja sebagai buruh sahaja tetapi anak saya itu tetap bertanggungjawab menanggung perbelanjaan keluarga,” katanya ketika ditemui pemberita di Unit Forensik Hospital Kemaman, di sini hari ini.
Katanya Muhammad Anuar Syurkimie juga sangat penyayang dan sentiasa mengambil berat terhadap empat adiknya yang berusia 21 hingga 28 tahun.
Beliau menambah kali terakhir mereka bertemu adalah selepas anaknya pulang daripada solat Jumaat dan dia meminta Muhammad Anuar Syurkimie menghantar barangan keperluan serta ubat ke rumah ibunya di Kampung Sungai Ular di sini.
-- BERNAMA
