EKONOMI

AMBANG PENGECUALIAN E-INVOIS RM1 JUTA KURANGKAN KOS PEMATUHAN PMKS -- ACCCIM

07/12/2025 07:14 PM

KUALA LUMPUR, 7 Dis (Bernama) -- Keputusan kerajaan untuk menaikkan ambang pengecualian e-invois daripada RM500,000 kepada RM1 juta mulai 2026 akan mengurangkan kos pematuhan serta beban pentadbiran bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Bersekutu Malaysia (ACCCIM) dalam satu kenyataan hari ini mengalu-alukan penyesuaian semula pendekatan kawal selia dan cukai bagi meringankan beban kewangan PMKS dalam persekitaran perniagaan yang mencabar.

Ia berkata penyesuaian semula pendekatan tersebut menunjukkan sifat pragmatik kerajaan dalam pelaksanaan dasar ekonominya sambil tetap mengambil kira potensi impaknya terhadap perniagaan.

Persatuan itu berkata penggandaan peruntukan bayaran balik cukai daripada RM2 bilion kepada RM4 bilion juga akan membantu perniagaan yang bergelut dengan tunggakan bayaran selain melancarkan aliran tunai mereka.

Namun, katanya, jangka masa pemprosesan mesti dipercepatkan bersama-sama dengan penambahbaikan mekanisme pampasan bagi memastikan bayaran balik kepada pembayar cukai dapat dibuat tepat pada masanya.

Persatuan itu turut memuji pendekatan kerajaan untuk menyediakan moratorium selama dua tahun tanpa penguatkuasaan atau penalti ke atas pelaporan kekosongan jawatan di bawah pindaan Pertubuhan Keselamatan Sosial.

Turut sama dipuji rancangan untuk mengecualikan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) daripada mandatori melaporkan kekosongan jawatan, tertakluk kepada hasil rundingan dengan para pemegang taruh.

“Keberkesanan dan persepsi terhadap pelaporan kekosongan jawatan secara mandatori bergantung pada keseimbangan antara manfaat pasaran buruh yang lebih telus bagi padanan pekerjaan dengan keperluan perniagaan untuk fleksibiliti operasi serta beban pematuhan yang minimum.

“Dengan penyesuaian dasar terbaharu ini, ACCCIM optimis bahawa kerajaan mengambil langkah yang bermakna ke arah melindungi kepentingan PKS, membolehkan mereka menstabilkan operasi, melabur dalam pertumbuhan serta menyumbang dengan lebih berkesan kepada pemulihan ekonomi Malaysia dan pembangunan jangka panjang,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan