SUKAN

LIGA SUPER: DPMM TEWASKAN IMIGRESEN 4-2

08/12/2025 12:50 AM

KUALA LUMPUR, 7 Dis (Bernama) -- DPMM FC bangkit bergaya untuk menewaskan Imigresen FC 4-2 dalam aksi Liga Super 2025-2026 yang berlangsung di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Brunei malam ini.

Imigresen bermula garang apabila Wilmar Jordan Gil membuka tirai jaringan seawal minit kelima, namun kelebihan itu tidak bertahan lama setelah DPMM menyusun semula rentak permainan.

Pasukan tuan rumah menyamakan kedudukan pada minit ke-15 menerusi Azwan Ali sebelum penyerang muda sensasi, Hakeme Yazid meledak dua gol berturut-turut pada minit ke-21 dan 26 untuk meletakkan DPMM selesa mendahului 3-1 menjelang rehat.

Memasuki babak kedua, Imigresen kembali menghidupkan peluang apabila Wilmar Jordan Gil sekali lagi mencetak nama sebagai penjaring melalui sepakan penalti pada minit ke-71, sekali gus merapatkan jurang kepada 3-2.

Namun, segala usaha kebangkitan pelawat dipadamkan pada minit ke-86 apabila Miguel Oliveira menjaringkan gol keempat DPMM FC untuk mengesahkan kemenangan. 

Sementara itu, aksi penuh drama berlangsung di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang menyaksikan Selangor FC menang besar 5-1 menentang tuan rumah Penang FC.

Bagaimanapun, permainan antara kedua-dua pasukan sedikit rencat kerana masalah pencahayaan yang memaksa perlawanan dihentikan sebanyak dua kali pada separuh masa pertama, sekali gus menjejaskan kelancaran aksi.

Terdahulu, perlawanan yang baru memasuki minit kedua dihentikan kira-kira 20 minit selepas lampu limpah di stadium berkenaan terpadam dan tidak berfungsi dengan baik, namun bersambung semula pada minit ke-21 dengan kedua-dua pasukan berusaha mendapat rentak semula untuk memburu jaringan.

Kapten Selangor FC Faisal Halim tidak menunggu lama apabila meledak gol pembukaan pada minit ke-26 hasil hantaran Chrigor Flores Moraes dari sebelah kiri padang.

Pada minit ke-42, perlawanan sekali lagi dihentikan susulan masalah pencahayaan yang berulang sebelum disambung semula dengan tambahan masa 28 minit.

Faisal hampir menggandakan jaringan peribadinya pada minit ke-50, namun rembatan kencangnya hanya menggegar tiang gol sebelum bola muntah pantas disambar pemain tengah dari Thailand Picha Autra yang tenang menyudahkan peluang dengan gol kedua buat Selangor FC.

Chrigor terus menambah derita Penang FC apabila meledak gol ketiga tujuh minit kemudian, menewaskan penjaga gol Mohamad Ramdhan Ab Hamid.

Skuad Harimau Kumbang cuba bangkit melakukan serangan balas dan berhasil apabila Tchetche Kipre berjaya menyepak masuk gol pertama tuan rumah untuk menjadikan kedudukan 3-1.

Penang FC hampir dihukum sekali lagi pada minit ke-74 apabila Faisal tenang menolak masuk gol keempat, bagaimanapun jaringan itu dibatalkan selepas semakan Video Bantuan Pengadil (VAR) mendapati pemain terbabit berada dalam kedudukan ofsaid.

Memasuki babak kedua, Selangor FC terus mendominasi permainan dan kesilapan Mohamad Ramdhan yang keluar dari kotak penalti dihukum apabila Chrigor berjaya melepasi kawalannya pada minit ke-59, sekali gus terus menjarakkan kedudukan dengan 4-1.

Skuad kendalian Wan Rohaimi Wan Ismail yang tertekan dilihat seperti hilang arah dan peluang disambar Chrigor dengan beliau memastikan hatrik pada malam ini apabila menghadiahkan gol ke-5 Selangor FC pada minit ke-75 dengan keputusan itu kekal sehingga tamat perlawanan.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan