KUANTAN, 8 Dis (Bernama) -- Aktiviti pelancongan di Tasik Chini, Pekan tidak terjejas meskipun resort utama di kawasan itu belum beroperasi semula, kata Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Pahang Leong Yu Man.
Beliau berkata resort di Tasik Chini masih dalam tindakan Perbadanan Setiausaha Kerajaan (PSK) Pahang untuk mendapatkan pelabur supaya dapat dibuka semula.
“Kawasan pelancongan tidak terjejas walaupun resort belum dibuka kerana ada kemudahan Pusat Penyelidikan Tasik Chini yang menawarkan fasiliti tempat penginapan, perkhemahan, bot dan kayak serta mendapat sambutan yang baik.
“Saya difahamkan hampir setiap hujung minggu tempahan Pusat Penyelidikan penuh dan mereka juga menawarkan pakej eksplorasi Orang Asli, Tasik Chini dan hutan,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Datuk Mohd Sharim Md Zain (BN-Chini) yang ingin tahu sama ada kerajaan negeri berhasrat untuk membuka semula resort di Tasik Chini.
Sementara itu, Leong ketika menjawab pertanyaan Datuk Mohd Sofian Abd Jalil (PN-Luit) berkata kerajaan negeri telah merangka dasar serta pelan strategik bagi menjadikan lokasi itu sebagai destinasi pelancongan lestari berpaksikan komuniti.
Beliau berkata antaranya menerusi pemuliharaan alam sekitar, iaitu semua aktiviti perlombongan di Tasik Chini telah dihentikan dan tiada lesen baharu dikeluarkan sejak 2019 serta kawasan berkenaan kekal sebagai hutan simpan kekal.
Beliau berkata tindakan seterusnya melaksanakan Pelan Pengurusan Tasik Chini secara bersepadu melibatkan 18 agensi dan empat perkampungan Orang Asli serta melibatkan aspek pemuliharaan ekosistem yang dilaksanakan melalui program restorasi hutan dan tasik antaranya bersama Jabatan Perhutanan Negeri.
-- BERNAMA
